Disember 22, 2024

n

Seminar Pembangunan Geoedupelancongan rintis usaha bangunkan konsep UTM Berseri

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Suatu Seminar Pembangunan Geoedupelancongan telah diadakan pada 11 Januari 2024 bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim (BCSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Seminar ini merupakan anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan kerjasama beberapa agensi dan jabatan lain, seperti Fakulti Kejuruteraan Awam, Geotropik (Centre of Tropical Geoengineering), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Geopark & Geotourism Creative Solution (GGCS).

Program seminar ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri, di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) iaitu Puan Masliza Che Omar.

Ucapan dan perasmian oleh Pn. Masliza binti Che Omar, Setiausaha Bahagian, MOTAC
Ucapan dan perasmian oleh Puan Masliza, Setiausaha Bahagian, MOTAC.

Seminar seumpama ini adalah merupakan julung kalinya diadakan terhasil daripada buah fikiran Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM sendiri, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad sebagai langkah awal untuk membawa pendekatan konsep UTM Berseri di institusi ini. Konsep ini merupakan hasrat JTNCP dalam memperindah kawasan kampus dengan tema taman tropika.

Seminar ini juga dilihat menjadi wadah yang secara tidak langsung bagi mempromosikan hasrat UTM ke arah Geoedupelancongan bagi menarik minat lebih ramai pelajar menimba ilmu di UTM. Selain itu, pembangunan Geoedupelancongan ini juga akan memberi manfaat kepada pengunjung dari dalam dan luar negara khususnya masyarakat setempat yang berada di sekitar kampus ini.

Seminar yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim bin Komoo
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim sewaktu berkongsi kepakaran semasa sesi berkenaan.
Picture
Sesi bergambar di hadapan BCSI.

Sementara itu, pakar dalam bidang Geoedupelancongan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, dari GGCS berkongsi pengetahuan dan kepakarannya melalui ruang perkongsian bertajuk  ‘Pembangunan Geotapak untuk Pemuliharaan dan Pelancongan’. Beliau juga mempengerusikan forum Geoedupelancongan bagi merangka dan menyusun perancangan serta strategi hala tuju UTM dalam memperkenalkan jenama baharu ini. Seorang lagi pakar dalam bidang Geoedupelancongan,  Prof. Dr. Norhayati Ahmad, dari UKM turut sama input berharga melalui ceramah ‘Biodiversiti Dalam Pembangunan Geotapak’.

Bengkel yang dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim bin Komoo
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim ketika mempengerusikan forum berkenaan.
Program Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan Geoedupelancongan di Dewan Banquet hadapan BCSI
Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan Geoedupelancongan di Dewan Bankuet, BCSI.
Seminar Pembangunan Geoedupelancongan UTM di Dewan Senat, BCSI
Seminar Pembangunan Geoedupelancongan UTM di Dewan Senat, BCSI.

Penganjuran seminar ini telah memberikan pemahaman baharu khusus kepada kumpulan projek di bawah JTNCP dan umumnya kepada warga kampus. Pendekatan baharu konsep warisan disesuaikan bagi penjenamaan baharu Geopelancongan UTM seperti Warisan Sejarah, Warisan Pendidikan, Warisan Penyelidikan, Warisan Teknologi, Warisan Ilmu, Warisan Tabii yang merangkumi landskap dan alam semula jadi seperti bukit bukau, sungai, tasik dan keindahan alam hutan tropika.

Selain itu, Georintis yang melibatkan denai dibincangkan bagi membangunkan pakej-pakej lawatan yang menarik dalam persekitaran kampus UTM. Dua strategi utama yang akan dilaksanakan segera bagi membentuk kerangka Geoedupelancongan UTM ini yang terdiri daripada usaha pengumpulan maklumat dan penceritaan menarik melibatkan aspek gabungan elemen Geologi, Biologi dan Budaya, dan pewujudan aktiviti atau projek rintis bagi menggerakkan aktiviti pelancongan dalam kampus.

Lawatan ke Taman Buloh UTM
Lawatan ke Taman Buluh UTM.

Sebanyak 36 lokasi menarik telah dilawati di dalam kawasan kampus UTM Johor Bahru. Antaranya,  Courtyard air terjun BCSI, Pokok Johor (Lepisanthes alata), Loh Hijrah, Pokok Pakis Gajah (Angiopteris evacta), Pokok Bidara (Zizyphus mauritiana),  Taman Tropika, Jeti Tropika, Rumah Melayu, Bamboo Avenue, tapak lokasi Yellow Rain Tree, Hutan Rekreasi, Lata Jernih, Telaga Air Batuan Akuifer, Taman Buluh, Taman Herba, Tapak Perkhemahan, Hutan Tropika, Hutan Pokok Getah, Balai Cerap, Pusat ‘Outward Bound’, Rain Tree Avenue, Driving Range, lembah kelulut, rumah pintar UTM Eco-Home, Taman Ekuin, Busut UTM  dan sebagainya.

 

Catatan kehadiran pelawat oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim bin Komoo di BCSI
Sekitar lawatan ke Galeri UTM.

 

Oleh Mohd Afizan Alang, Ketua Unit Landskap dan Pembersihan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Explore More