November 22, 2024

Search
Close this search box.
Dr Halim Education Day

Hari Pendidikan Antarabangsa yang keenam (The sixth International Day of Education) yang disambut pada hari ini, 24 Januari 2024, bertemakan “pembelajaran demi keamanan yang berkekalan” (“learning for lasting peace”). Kontranya, dunia masih bergelumang dengan konflik keganasan yang disertai dengan peningkatan yang menggusarkan dalam konteks diskriminasi, perkauman, xenofobia, dan kata-kata bersifat hasutan dan kebencian.

Impak keganasan ini melangkaui mana-mana sempadan tanpa mengira geografi, jantina, bangsa, agama, politik, di dunia maya mahupun di dunia nyata. Usaha dan komitmen bersifat proaktif dilihat lebih mendesak pada hari ini berbanding sebelumnya.

Pendidikan dilihat sebagai wahana ampuh dalam menangani situasi ini, seperti yang ditegaskan oleh cadangan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) berkaitan “Pendidikan untuk Keamanan, Hak Asasi Manusia, dan Pembangunan Mampan”. Pembelajaran untuk keamanan harus bersifat transformatif, membantu memberdayakan golongan muda dengan pengetahuan, nilai, sikap, dan kemahiran serta tingkah laku yang diperlukan untuk menjadi agen keamanan dalam komuniti mereka.

Jika ditelusuri cadangan UNESCO ini, ia selari dengan apa yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di Malaysia, iaitu pendidikan merupakan satu usaha berterusan untuk menggilap potensi yang terdapat pada murid secara holistik, dan hal ini merangkumi domain kognitif, psikomotor dan afektif.

Selain itu, jika diimbas dan dihayati salah satu konsep penting dalam masyarakat MADANI ada menyebutkan tentang prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua orang tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan. Dalam prinsip keseimbangan, semua rakyat seharusnya dilayan secara adil dan sama rata. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan mampan serta semua rakyat boleh hidup dalam keadaan yang sejahtera.

Tika ini, konsep MADANI juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh keperluan dalam pembangunan negara, dan salah satunya merupakan pendidikan. Jika dihayati konsep tersebut dengan lebih mendalam, ia sangat menekankan kepada aspek kemanusiaan. Setiap tonggak dalam konsep MADANI sangat menekankan kepada nilai-nilai kemanusiaan dalam diri rakyat Malaysia dan perkara ini boleh dipupuk melalui pendidikan.

Penghujung tahun 2023, dunia dikejutkan dengan konflik di Gaza yang menyebabkan banyak nyawa yang tidak berdosa menjadi korban. Malaysia melalui pemimpin utamanya telah menyatakan pendirian negara mengenai konflik tersebut. Ia turut diterjemahkan dalam pelbagai aktiviti kesedaran khususnya di sekolah. Namun, apa yang lebih penting ialah aspek empati dan kemanusiaan ini bukanlah satu proses bersifat one-off yang hanya dilaksanakan tatkala konflik yang melibatkan nyawa yang tidak berdosa terkorban.

Selaras dengan konsep MADANI, penerapan aspek kemanusiaan adalah proses berterusan selari dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menerapkan pendidikan berteraskan keamanan pada anak-anak mereka kecil bermula di rumah.
Usaha ini pula diteruskan oleh golongan pendidik yang sering diberi jolokan sebagai agen perubahan yang memainkan peranan yang penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri murid sejak awal persekolahan mereka. Antara inisiatif yang dapat dilakukan adalah melalui penerapan kesedaran nilai kemanusiaan di sekolah yang mana sedikit sebanyak membantu untuk membuka mata murid akan peri pentingnya aspek ini dalam kehidupan.

Selain itu, guru juga boleh melibatkan murid dalam aktiviti-akitiviti kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada kelompok masyarakat yang begitu memerlukan. Melalui cara ini, sifat ihsan dan empati dalam kalangan murid dapat diterbit dan dipupuk. Guru juga harus menjadi suri teladan dengan mempamerkan empati yang boleh dicontohi oleh murid. Misalnya, memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, umur dan agama. Hal sedemikian dapat memupuk semangat kemanusiaan dalam diri murid yang akhirnya dapat melahirkan generasi yang mempunyai sifat belas dan berempati tinggi terhadap kesengsaraan orang lain. Konsep Karamah Insaniah yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memfokuskan hubungan antara Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Melaluinya, konsep manusiawi, iaitu setiap murid mempunyai perasaan kasih sayang dan empati antara satu sama lain, turut diperkenalkan.

Tuntasnya, pendidikan adalah satu usaha berterusan yang perlu digerakkan semenjak manusia dilahirkan hinggalah ke hembusan nafas terakhir. Dalam konteks sambutan Hari Pendidikan Antarabangsa yang keenam ini, generasi muda perlu mengalami pembelajaran yang dapat mengaitkan pengetahuan dengan krisis kemanusiaan yang berlaku di dunia. Elemen kemanusiaan untuk mengekalkan keamanan perlu didedahkan kepada murid sama ada secara formal atau tidak formal, di rumah mahupun di sekolah. Pendedahan dari awal dapat membentuk seorang insan yang dapat membezakan baik dan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan persekitaran mereka. Hal ini seterusnya dapat melahirkan generasi murid yang bersifat ‘manusiawi’ dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi sepertimana yang digariskan dalam konsep Malaysia MADANI.

Selamat Hari Pendidikan Antarabangsa!

Dr. Abdul Halim Abdullah merupakan Profesor Madya di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More