Mei 1, 2024

Search
Close this search box.
LEAD

JOHOR BAHRU, 20 Jan. – Kelab Smartcamp Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu program motivasi pelajar yang dinamakan LEAD 3.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perling baru-baru ini, pada 15 Januari 2024.

Program tersebut telah mendapat kerjasama daripada Unit Kokurikulum dan Unit Pendidikan Khas di SMK Seri Perling yang bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah dan teknikal dalam diri pelajar. Selain itu, mahasiswa dan mahasiswi UTM juga berpeluang mengasah kemahiran sebagai fasilitator.

LEAD 3.0 telah disertai seramai 50 orang pelajar tingkatan empat SMK Seri Perling dan 8 orang pelajar pendidikan khas serta dibantu oleh 29 orang fasilitator dari UTM di bawah bimbingan Penasihat Program LEAD 3.0, Dr. Nurzal Effiyana Ghazali, Dr. Muhammad Talhah Ajmain@Jima’ain dan saudara Matthias Tiong Foh Thye. Program ini padat dengan modul-modul yang direka khas oleh Unit Modul LEAD 3.0 untuk menekankan niche area KTC iaitu kreatif dan inovatif sepanjang program.

Modul pertama ialah modul “Taaruf”, merupakan aktiviti ice-breaking bertujuan untuk menghangatkan suasana dan mencipta hubungan antara para peserta. Selepas sesi pengenalan fasilitator yang terdiri daripada pelajar UTM, ahli kumpulan diminta untuk mencari fasilitator mengikut kumpulan masing-masing.

Sesi pengenalan antara kumpulan semasa Modul 1 (Taaruf).

Modul kedua yang dinamakan “Kepimpinan” merupakan aktiviti explorace dengan tujuan mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta. Sebanyak empat checkpoint disediakan kepada para peserta untuk meningkatkan kreativiti, kepimpinan, saling kerjasama dan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta.

Salah satu checkpoint semasa Modul 2 (Kepimpinan): Poisson Cup di mana semua ahli kumpulan akan bekerjasama untuk mengeluarkan cawan dari kawasan yang telah ditetapkan.

Modul terakhir bertujuan untuk meningkatkan inovasi peserta. Kerjasama antara peserta dapat dipupuk semasa mereka membina satu struktur binaan dengan menggunakan kertas dan pita pelekat sahaja. Fasilitator kemudiannya akan menguji ketinggian dan kestabilan struktur yang dibina.

Modul 3 (Inovasi) mengasah minda pelajar dengan membentuk bangunan kertas yang tinggi dan kukuh.

Nurhani Mohd Fuad, salah seorang peserta Lead 3.0 berkongsi bahawa program ini telah memupuk semangat perpaduan dan kerjasama sepanjang berlangsungnya program LEAD 3.0.  Setiap ahli kumpulan terdiri daripada pelajar yang datang dari kelas yang berbeza, maka mereka mempunyai peluang untuk berkenalan dan bekerjasama untuk menjalankan modul-modul yang disediakan sepanjang program tersebut.

“Kita perlu memberikan kepercayaan kepada ahli kumpulan kita semasa permainan tadi. Kita menang sama-sama, kalah sama-sama. Jika tiada perpaduan diwujudkan dalam kumpulan kita, kita tidak akan berjaya dalam permainan,” katanya semasa sesi refleksi dengan penganjur.

Sesi Refleksi: Perkongsian dari salah satu pelajar Tingkatan 4, Saudari Nurhani Mohd Fuad.

Perasmian program LEAD 3.0 telah disempurnakan oleh Pn Woo Lee Fang selaku pengetua SMK Seri Perling disaksikan oleh Dr Muhammad Talhah Ajmain@Jima’ain selaku Penasihat Program LEAD 3.0, Puteri Nur Amira Liyana Hamrin, wakil dari MyRAhub Foundation, Puan Zam Zarina Mokhtar selaku Penyelaras Pendidikan Khas dan semua yang hadir.

Pn. Woo menyatakan kebanggaan beliau terhadap kejayaan pelaksanaan khidmat pendidikan yang bermakna kepada pihak sekolah dan para peserta, sambil berharap pihak penganjur akan meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang.

“Penganjuran program sebegini akan membentuk insaniah dan teknikal peserta dan saya amat gembira melihat penglibatan pelajar pendidikan khas dalam program yang bermakna dan bermanfaat,” katanya.

majlis penutup
Majlis Penutup Program Lead 3.0

Menurut Pengarah program LEAD 3.0, Nur Fariza Muhammad, program LEAD 3.0 berjaya dilaksanakan dengan lancar walaupun dihadapi pelbagai cabaran. Beliau melihat semangat bantu-membantu antara fasilitator dan berharap program LEAD boleh dianjurkan lagi pada masa depan untuk mengeratkan silaturahim.

Secara keseluruhannya, program LEAD 3.0 di SMK Seri Perling ini berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk insaniah pelajar. Program ini merupakan satu permulaan yang baik untuk menanam minat pelajar untuk menyambungkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, selari dengan SDG 4 iaitu pendidikan berkualiti.

Sejarah bermulanya Program LEAD dengan LEAD 1.0 yang mula dianjurkan pada 11-12 Mac 2022 secara atas talian. Manakala LEAD 2.0 dianjurkan pada 20 Mei 2023 di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru. Program LEAD akan diteruskan untuk melahirkan pelajar yang berkaliber, berkepemimpinan dan berkemahiran tinggi.

Explore More