Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

Graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dapat permintaan tinggi pasaran kerja

JOHOR BAHRU, 13 Jan. – Kemahiran dan pengetahuan graduan keluaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa menjadi dambaan pihak industri di luar sana. Hal ini dibuktikan dengan Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employabilty atau GE) UTM mencapai kadar 99% bagi tahun 2022 sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Ogos yang lalu, menjadi antara Universiti Awam yang mencatatkan GE tertinggi di negara ini.

Pencapaian berkenaan merupakan hasil kolektif kepada usaha kesemua fakulti di institusi ini dalam memastikan graduan yang dihasilkan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik usai menamatkan pengajian.

Kemuncak atas usaha berkenaan menyaksikan Fakulti Kejururuteraan Elektrik Universiti ini menjadi pendahulu dalam kalangan fakulti yang lain apabila menggondol Anugerah Piala Pusingan Kebolehpasaran Graduan UTM tahun 2022 selain dua anugerah lain; Anugerah Kebolehpasaran Graduan 2022 bagi Kategori Prasiswazah – Kejuruteraan bagi Program Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Elektronik) dan Anugerah Kebolehpasaran Graduan Pacsasiswazah – Kejuruteraan bagi Program Sarjana Kejuruteraan (Komputer dan Sistem Mikroelektronik).

anugerah GE FKE in
Prof. Dr. Jafri Bin Din, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM (tengah) menerima Anugerah Piala Pusingan Kebolehpasaran Graduan UTM Tahun 2022 dalam satu majlis baru-baru ini.

Pengiktirafan ini diberikan atas kejayaan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) mencatatkan 96.52% kadar kebolehpasaran graduan bagi tahun 2022. Menerusi kadar GE berkenaan program Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik dan Elektronik) mencatatkan kadar GE sebanyak 99.43%, diikuti Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik) sebanyak 98.29%, Sarjana Muda Kejuruteraan (Bio-Perubatan) dengan 92.56% dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Mekatronik) pula 88.89%.
Menurut GE Ambassador Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nasrul Humaimi Mahmood, pihak Fakulti sentiasa proaktif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan graduan yang dihasilkan menepati kehendak pasaran kerja.

WhatsApp Image at PM
Pelajar Fakulti ini menyertai pelbagai pertandingan di peringkat nasional mahupun bagi mempertingkatkan kemahiran dan memperkaya pengetahuan.

“Pihak Fakulti sentiasa memastikan kurikulum bagi program-program yang diikuti oleh para pelajar sentiasa dikemas kini dengan keperluan standard yang ditetapkan oleh pihak Board of Engineers of Malaysia (BEM).”

Tambahnya lagi, pihak fakulti mengambil langkah kehadapan dengan sentiasa melibatkan pemain industri untuk turut sama dalam pembangunan ilmu dan kemahiran pelajar.

Menurutnya, hubungan baik dengan industri bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia sebenar pekerjaan bahkan turut merintis hubungan bakal ‘pekerja-majikan’ ini dengan lebih awal.

WhatsApp Image at AM

“UTM mendapat banyak pelawaan daripada pihak industri untuk menghantar pelajar universiti ini untuk menjalani latihan industri di syarikat mereka. Melalui cara ini, pihak syarikat bukan sahaja dapat melatih dan berkongsi ilmu tentang tugasan di lapangan sebenar malah dapat melihat keupayaan pelajar kita untuk menjadi sebahagian tenaga kerja mereka.

“Beberapa syarikat besar antaranya, Intel, Oppstar, Micron dan Skyechip banyak menawarkan peluang Latihan industri kepada pelajar kita. Peluang seperti ini memberi manfaat dua hala yang amat baik buat pelajar dan industri, juga Universiti yang wajar dipertingkat dari semasa ke semasa,” tambah Ir. Ts. Dr. Nasrul.

Berdasarkan dapatan yang dikeluarkan oleh Fakulti ini sebanyak 39.29% daripada graduan tahun 2022 yang telah bekerja kini berkhidmat di pelbagai syarikat tempatan selain 28.57% yang berkhidmat di syarikat multinasional. Ini menunjukkan syarikat-syarikat ini memerlukan bakat dan kemahiran anak watan untuk bersaing dan membangunkan perniagaan yang sedang diusahakan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat, mengakui Fakulti Kejuruteraaan Elektrik menjadi penyumbang tertinggi bagi kadar GE Universiti.

Intel UTM GE
Dr. Che Rozid (tiga dari kiri) dan Dr Nasrul (tiga dari kanan) ketika mengunjungi syarikat Intel Malaysia.

Menurutnya, FKE sememangnya giat menjalankan kolaborasi bersama industri dalam usaha mempersiapkan para pelajar menghadapai dunia pekerjaan. Antara program kolaborasi yang dijalankan ialah CIMB X UTM Campus Take Over, Maxis Outreach Program, Dyson James Foundation Award, Huawei UTM Scholarship dan Khazanah Super Tuesday.

“Pusat Kerjaya UTM mengharapkan FKE dan Fakulti lain di UTM agar dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini, dan menambah baik inisiatif terutamanya kolaborasi dengan industri premium melalui Latihan Industri dan lain-lain. Inisiatif ini bukan sahaja membuka lebih peluang kerjaya tetapi dapat meningkatkan prestasi kecemerlangan Kebolehpasaran Premium Fakulti dan UTM,” titip beliau ketika ditanya tentang harapan untuk fakulti di UTM berkaitan GE.

 

WhatsApp Image at PM ()
Pasukan Robocon UTM yang mengungguli pertandingan robotik saban tahun terdiri daripada kalangan pelajar FKE.
WhatsApp Image at PM ()
Para pelajar juga dilatih melakukan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat di luar sana berkaitan teknologi.

Kredit foto: Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nasrul Humaimi Mahmood dan Facebook Faculty of Electrical Engineering, UTM Johor Bahru

Explore More