Mei 5, 2024

Search
Close this search box.

UTM lakar variasi kecemerlangan menerusi enVision Moonshot 2023

JOHOR BAHRU, 11 Dis. – Warga Universiti Teknologi Malaysia sekali lagi berhimpun hari ini dalam Majlis Bersama Naib Canselor bagi mendengar dan menyaksikan perkongsian berkaitan pencapaian dan kecemerlangan sepanjang tahun 2023.

Menerusi perkongsian yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Universiti telah melakar kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan ruang menerusi strategi enVision Monshoot Transformative Journey 1.0 yang dibawakan pada awal tahun ini.

“Kita telah membangunkan matlamat hebat yang ingin dicapai melalui empat Moonshot pada tahun ini, iaitu melalui penghasilan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan, mencapai kesohoran global serta memanfaatkan teknologi tinggi melalui quadruple helix” kata Prof. Datuk Fauzi.

Prof. Datuk Fauzi ketika berkongsi pencapaian UTM di hadapan hampir 2,400 warganya hari ini.

Dalam konteks penghasilan graduan berkualiti UTM telah membuktikan kejaguhannya apabila baru-baru ini dinobatkan sebagai Universiti Awam pertama yang menerima Geran Dana GE My Next-Future Youth Aspiration daripada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bernilai RM 100,000 dengan melihat prestasi UTM yang memiliki graduan berkemahiran tinggi dan berpendapatan premium dengan kadar kebolehpasaran graduan antara yang tertinggi di Malaysia (99%).

Selain kecemerlangan akademik, pencapaian mahasiswa UTM turut dapat dilihat dalam pelbagai lapangan seperti penyertaan dalam skuad bola jaring nasional ‘Johor Jewels’, penguasaan ilmu al-Quran sebagai Hafiz dalam Ihtifal Kebangsaan dan pengiktirafan melalui anugerah berprestij Merdeka Award 2023 yang pertama kalinya diraih oleh pelajar UTM.

Pencapaian seperti ini turut diimbangi dengan kehebatan warga kerjanya apabila UTM tahun ini berjaya menempatkan ahli akademianya dalam barisan pemenang Anugerah Akademik Negara 2023 menerusi tiga kategori berbeza, membolot Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu dua tahun berturut-turut sejak tahun lalu selain meraih Anugerah Utama dalam Anugerah Pengkomersialan (MCY) Tahun 2022 baru-baru ini.

Salah seorang pemenang Anugerah Akadmik Negara 2023 baru-baru ini, Dr. Norliza Mohd Isa yang menyumbangkanwang kemenangannya sebanyak RM 5,000 kepada Tabung Endowment UTM untuk pembangunan dan aktiviti pelajar Fakulti Alam Bina dan Ukur.

Kecemerlangan institusi ini diteruskan apbila UTM berjaya mendapat mandat  dan kepercayaan pihak Kerajaan sebagai peneraju utama bidang kecerdasan buatan melalui penubuhan Fakulti AI pertama negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia sempena Belanjawan 2024 yang lalu.

Kebitaraan UTM dalam penerokaan bidang sains dan teknologi memberi suatu keyakinan kepada kepimpinan negara untuk memberi tanggungjawab besar ini dalam membawa Malaysia ke hadapan untuk bersaing di arena global menggunakan teknologi watan.

Kepakaran UTM sebagai sebuah gedung ilmu yang praktikal dan berwawasan, Fakulti AI yang bakal mula direalisasikan pada 2024 menerima peruntukan RM 20 juta dengan RM 5 juta daripadanya untuk memfokuskan aktiviti inovasi penyelidikan dalam konteks kecerdasan buatan.

Antara barisan kepimpinan tertinggi UTM yang hadir pada Majlis Bersama Naib Canselor kali ini.

Pembangunan Telaga Air Akuifer Batuan dengan kapasiti 1 juta liter sehari baru-baru ini yang menjadikan UTM sebagai UA pertama yang mempunyai sumber air semula jadi tersendiri menggunakan teknologi watan juga membuktikan kemampuan pakar UTM dalam menginovasi penyelesaian.

Dalam pada itu, UTM pada tahun ini turut menambah mengembangkan sayap kesohorannya di persada global dengan kejayaan mengraduasikan graduan luar kampus di luar negara seramai 74 orang di Qaiwan International University (QIU) di Kurdistan, Iraq.

Kredibiliti UTM sebagai institusi pendidikan tinggi tersohor negara sentiasa meraih perhatian dan kepercayaan masyarakat dalam dan luar negara sepertimana yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Prof. Datuk Fauzi berkata “Kementerian mahukan cendekiawan Universiti ada waktunya perlu ‘membumi’ agar bukan hanya terkenal dalam kalangan cerdik pandai bahkan turut didambakan keberadaannnya oleh pihak industri dan masyarakat dengan pemindahan ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi.”

Pencapaian-pencapaian signifikan ini merupakan hasil pelunasan amanah warga UTM dalam memastikan institusi ini berfungsi pada landasan yang benar. Amanah ini diharapkan sentiasa menjadi teras kepada seluruh warganya selain terus menjadi suri teladan masyarakat di luar sana memacu kemajuan dan kesejahteraan dalam merealisasikan pembentukan masayarakat MADANI.

Edisi Majlis Bersama Naib Canselor yang terakhir buat tahun ini juga menyaksikan penyerahan sijil kenaikan pangkat kepada staf akademik dan staf PPP UTM.

Mengakhiri pembentangan, Prof. Fauzi turut berkongsikan ringkasan hala tuju pelan tindakan bagi tahun 2024 menerusi enVision Moonshot Transformative Journey 2.0 dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Citizens of UTM.

Explore More