April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pupuk keprihatinan pelajar sekolah cakna kepentingan sungai

SKUDAI, 7 Dis. – Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), iaitu pusat penyelidikan berteraskan alam sekitar dan air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Pertandingan Pengucapan Awam Hari Sungai Sedunia 2023 bertemakan Kebersihan Sungai Mencerminkan Pembangunan Sahsiah Masyarakat Bertamadun pada 25 September hingga 25 Oktober 2023 dengan kerjasama  Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Program pengucapan awam ini ini turut mendapat tajaan geran penyelidikan antarabangsa bersama-sama pihak Newcastle University, UK di bawah skim Global Challenge Research Fund (GCRF) bertajuk Water Security and Sustainable Development Hub. Dana untuk skim GCRF mendapat pembiayaan oleh United Kingdom Research dan Innovation (UKRI).

Pihak IPASA telah menerima sebanyak 421 video penyertaan daripada sekolah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah ini merupakan acara tahunan tahunan bersempena dengan Hari Sungai Sedunia yang disambut pada hari Ahad minggu keempat bulan September pada setiap tahun. Tahun ini merupakan tahun ketiga pertandingan ini diadakan.

Menurut Prof. Dr. Zainura Zainon Noor, Pengarah IPASA, program ini dijadikan program tahunan IPASA, bertujuan untuk menerapkan perasaan cintakan sungai di generasi muda. Adalah diharapkan agar program akan dapat memberikan kecaknaan dan keprihatinan terhadap kelestarian sungai kepada murid-murid sekolah khususnya dan masyarakat amnya.

Majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah telah diadakan pada 7 Disember 2023 yang lalu  dan diserikan dengan persembahan Tarian Zapin daripada Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai oleh Kumpulan Lantai Tari Seni. Tarian ini diselitkan bagi memartabatkan Tarian Zapin yang merupakan Tarian Budaya Negeri Johor.

Sementara itu, pameran bagi program-program yang telah dijalankan oleh IPASA juga turut diadakan. Pihak IPASA juga menjemput sekolah-sekolah yang berminat dengan program Climate Change Awarenessu ntuk sama-sama hadir bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai program tersebut.

Bagi kategori sekolah menengah, peserta membawa pulang hadiah berjumlah RM700 untuk pemenang tempat pertama, hadiah berjumlah RM500 untuk tempat kedua dan hadiah berjumlah RM300 untuk tempat ketiga. Bagi kategori sekolah rendah pula, peserta membawa pulang hadiah berjumlah RM500 untuk pemenang tempat pertama, hadiah berjumlah RM350 untuk tempat kedua dan hadiah berjumlah RM250 untuk tempat ketiga. Kesemua pemenang turut menerima trofi iringan dan sijil. Selain daripada pemenang, pihak kami juga menjemput pelajar-pelajar yang menerima saguhati untuk turut serta menghadiri majlis ini. Berikut adalah senarai nama pemenang yang hadir daripada seluruh negara.

Kategori Sekolah Menengah

  1. Muhammad Hifzhan Irham bin Yusrizal, SMK Taman Tasik Taiping, Taiping, Perak
  2. Siti Nuradreana binti Hairul Azman, Kolej Vokasional Dato’ Undang Hj. Muhamad Sharip, Negeri Sembilan
  3. Nur Amirah Insyirah binti Abu Bakar, SMK Dato’ Sulaiman, Batu Pahat, Johor

Kategori Sekolah Rendah

  1. Ahmad Ruzain Zahrin bin Sabaruddin, SK Bandar Pusat, Bandar Jengka, Pahang.
  2. Nur Izzah Insyirah binti Muhammad Nasuha, SK Felda Purun, 28330 Triang, Pahang
  3. Che Ku Mia Asiyah binti Che Ku Mohd Asraf, SK Tebing Tembah, Dungun, Terengganu

 

Explore More