Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Dis – Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Pasir Gudang telah berjaya membina sebuah mesin yang mampu menghasilkan baja kompos yang diberikan nama I-Wonder Bin.

Lebih ironinya, pembinaan mesin ini telah menerima nasihat dan bantuan teknikal daripada tenaga pengajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merupakan seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains, Dr. Huszalina Hussin.

Bercakap selepas menjadi panelis dalam sesi ’UTM Library Knowledge Sharing 2023’ anjuran Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Guru Inovasi dan Fizik SMK Masai 2, Rahayu Abdul Rahman yang juga guru pembimbing kumpulan ini berkata I-Wonder Bin dibangunkan pada tahun 2019 sewaktu menyertai pertandingan Young Industry Boocamp yang berlangsung pada tahun sama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang.

”Mesin ini berkeupayaan untuk mengisar bahan-bahan terbuang seperti makanan kering, buah-buahan dan sayuran bagi menghasilkan baja kompos.

”Bahan-bahan ini boleh didapati di rumah dan juga di mana-mana secara mudah dan dalam kuantiti yang banyak. Lebih menariknya, mesin I-Wonder Bin ini boleh menghasilkan baja kompos dalam tempoh satu hari berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa hingga sebulan,” katanya lagi.

Menurut Rahayu lagi, inovasi ini sudah tentulah menjadi sesuatu ciptaan yang amat istimewa kerana ianya dibangunkan oleh sekumpulan pelajar sekolah menengah berbanding dengan inovasi yang sedia ada di pasaran yang kebanyakannya dibangunkan oleh penyelidik yang berkelayakan tinggi.

”Saya amat bangga kerana inovasi ini dibangunkan oleh anak-anak murid saya sekali gus membuktikan bahawa mereka ini boleh digilap menjadi penyelidik yang mempunyai potensi yang baik pada masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, inovasi I-Wonder Bin ini telah menyertai beberapa pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa seperti Young Industry Bootcamp 2019 (pingat perak tempat kedua), Petrosains RBTX Challenge (Johan), International Science Technology Engineering Competition (ISTEC) 2023, Bali, Indonesia (Global Award), Fun for Life 2023 (Johan Kebangsaan) dan Next Gen Innovator Challenge 2023 (Johan).

Mesin I-Wonder Bin ini telah dibangunkan oleh pelajar Tingkatan Lima SMK Kota Masai 2 yang terdiri dari Nur Ain Najihah Sulaiman, Nurul Nadia Zulhabri, Muhammad Zahirul Haq Mohd Saiful dan Hafizan Afiq Asmat.

Mesin I-Wonder Bin yang dibangunkan oleh sekumpulan pelajar SMK Kota Masai 2 setelah mendapat khidmat nasihat daripada tenaga pengajar UTM.
Rahayu Abdul Rahman (paling kanan) ketika menjadi panelis dalam program anjuran Perpustakaan UTM, ‘UTM Library Knowledge Sharing 2023’’.

 

Pelajar SMK Kota Masai 2 dari kiri Nurul Nadia Zulhabri, Muhammad Zahirul Haq Mohd Saiful dan Nur Ain Najihah Sulaiman ketika mengadakan demonstari di Perpustakaan UTM.
Dari kanan, Rahayu Abdul Rahman, Dr Huszalina Hussin dan Ketua Pustakawan UTM, Nor Asikin Mohamad (lima kiri) ketika bergambar berkumpulan bersama kumpulan pelajar SMK Kota Masai 2 yang membangunkan I-Wonder Bin.

Explore More