Disember 27, 2024

FSSK anjur Bengkel Pemurnian Artikel Jurnal Berimpak Tinggi 2023, usaha pertingkat kualiti jurnal

Sempena cuti pertengahan semester baru-baru ini, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Bengkel Pemurnian Artikel Jurnal Berimpak Tinggi 2023 yang merujuk kepada jurnal-jurnal yang berada di kuartil satu (Q1) dan dua (Q2) yang diindeks oleh Web of Science (WOS).

Bengkel yang dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 November bertempat di ibis Styles Johor Iskandar Puteri telah dihadiri oleh seramai 22 orang peserta, tiga orang penceramah dan sembilan orang fasilitator.

Pelaksanaan bengkel ini merupakan salah satu intipati Pelan Strategik FSSK untuk tahun 2023 khususnya dari aspek penyelidikan dan penulisan. Perancangan bengkel ini telah diadakan seawal sebelum semester I sesi 2023/2024 bermula lagi yang mana penyertaan terbuka kepada semua penyelidik di FSSK UTM Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur.

Pada peringkat awal, setiap penulis perlu mengemukakan sekurang-kurangnya sebuah manuskrip lengkap yang berpotensi untuk diterbitkan dalam jurnal WOS sama ada Q1 atau Q2. Urusetia telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan. Peringkat seterusnya melibatkan saringan oleh fasilitator yang dilantik berdasarkan rekod dan kecemerlangan mereka dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi. Tujuan utama saringan dilakukan adalah untuk memastikan manuskrip yang berpotensi sahaja yang dipilih untuk dibawa ke bengkel tersebut. Hasil dari peringkat saringan, sebanyak 22 buah manuskrip oleh bilangan penulis yang sama terpilih untuk mengikuti bengkel pemurnian tersebut. Penulis yang terlibat merangkumi kesemua entiti dalam FSSK iaitu Sekolah Pendidikan, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Akademi Bahasa, Akademi Tamadun Islam dan FSSK KL.

Pada hari pertama bengkel diadakan, perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSSK, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Abu @ Hussin. Sesi perkongsian kemudian diadakan bersama peserta oleh tiga orang penceramah. Perkongsian pertama disampaikan oleh Prof. Dr. Lokman Mohd Tahir dengan tajuk “How to Structure the Content of Your Manuscript?”. Perkongsian kedua pula disampaikan oleh Ts Dr Sharifah Osman yang bertajuk “How to Finalize the Touch-ups on Your Manuscript?”. Manakala Dr Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus pula menyampaikan perkongsian yang ketiga bertajuk “What Reviewers Look for in Your Submitted Manuscript?”.

Peserta mengambil kesempatan untuk bertanya soalan bersama penceramah untuk memantapkan lagi kandungan dan struktur artikel jurnal masing-masing. Setiap peserta kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan telah dibimbing oleh tiga orang fasilitator. Mereka diminta untuk membentangkan manuskrip di dalam kumpulan masing-masing, manakala para fasilitator membantu secara one-to-one kepada mereka. Pembentangan dalam kumpulan bersambung pada sesi pagi hari kedua bengkel.

Sebahagian besar masa pada hari kedua diisi dengan proses pemurnian dan penambahbaikan manuskrip oleh setiap penulis dengan mengambil kira cadangan yang diberikan oleh fasilitator. Menjelang sesi petang hari kedua bengkel, para peserta menghantar manuskrip yang telah ditambahbaik ke jurnal-jurnal pilihan masing-masing. Semoga pelaksanaan bengkel ini mencapai matlamat utamanya untuk menyebarkan ilmu dan hasil kajian mereka dalam bentuk penulisan artikel jurnal berimpak tinggi. Sementelahan, bertepatan dengan tagline UTM iaitu ‘Menginovasi Penyelesaian’, semoga penerbitan ini memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

 

Explore More