Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Fiesta ISES Pemangkin kepada Penginstitusian Nilai Teras UTM

Johor Bahru, 20 Disember – Fiesta ISES UTM 2023 anjuran Jabatan Pendaftar UTM telah diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pada 19 dan 20 Disember 2023.  Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menterjemahkan penulisan buku “ISES Budaya UTM”, meningkatkan kefahaman berkaitan nilai teras UTM iaitu Integrity, Sustainability, Excellence, Synergy (ISES) serta mewujudkan kerjasama dan sinergi antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM.

Program ini melibatkan 26 pempamer reruai termasuk pihak luar seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rasuah Busters, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru, Pusat Kesihatan Daerah Kulai serta pihak CUEPACS. Pelbagai aktiviti menarik seperti sesi ceramah, forum, pertandingan dan cabutan bertuah turut diadakan sepanjang penganjuran fiesta ini.  Antara pertandingan yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan staf UTM adalah Pertandingan ‘Treasure Hunt’ yang menguji minda dan fizikal para peserta. Manakala Pertandingan Reruai Terbaik serta Monumen ISES turut menampilkan kreativiti dan keunikan daripada setiap jabatan.

 

 

 

Pertandingan Monumen Terbaik yang mengetengahkan mesej atau nilai ISES menampilkan kreativiti luar biasa dari warga UTM diungguli oleh Fakulti Kejuruteraan Awam (Johan) telah membawa pulang wang tunai RM1000, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (Naib Johan) menerima RM700 dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (Tempat Ketiga) menerima RM500. Manakala saguhati diterima oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan UTM Pagoh, masing-masing menerima RM200.

 

 

Pertandingan ‘Treasure Hunt’ yang disertai oleh 50 kumpulan melibatkan seramai hampir 250 orang staf dari pelbagai Fakulti dan Jabatan, menyediakan hadiah lumayan berbentuk wang tunai sejumlah RM600 bagi Johan, RM400 bagi Naib Johan dan RM200 bagi Tempat Ketiga manakala 8 kumpulan lagi menerima RM100 sebagai Saguhati. Johan telah dirangkul oleh wakil Fakulti Kejuruteraan Eletrik (FKE), Naib Johan diterima oleh wakil Fakulti Kejuruteraan Mekanikal manakala Tempat Ketiga diperoleh wakil Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Manakala Pertandingan Reruai Terbaik diterima oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (Johan) yang membawa pulang RM500, Jabatan Bendahari (Naib Johan) menerima RM300 dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (Tempat Ketiga) menerima RM100.  Selain itu, UTM turut memberi penarafan ISES kepada PTJ yang bercapai memperoleh 5 bintang iaitu Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Majlis Pembukaan Fiesta ISES UTM telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada 19 Disember 2023.  Dalam sesi ucapan perasmian yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Muhamad, beliau berkata “Sebahagian besar umur dewasa kita bekerja, kebanyakan waktu itu kita berada di UTM.  Ada sebahagian staf yang kadang kala bekerja hampir 12 jam sehari. Semua ini akan menjadi amal sekiranya kita bekerja dengan niat yang suci dan ikhlas”.  Semasa Majlis Perasmian Program, Saudara Badrul Hurrairi bin Muhammad sebagai wakil staf UTM telah mengetuai sesi bacaan ikrar integriti bagi menyatakan keazaman warga UTM untuk berusaha menentang kegiatan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Pendaftar UTM, Puan Hajah Nor Azizah binti Ismail selaku Penasihat Program turut menzahirkan rasa kesyukuran dalam ucapan beliau semasa Majlis Penutup, “Meskipun UTM sedang menghadapi beberapa program besar seperti Pra-Audit Pematuhan Pengekalan Status Swaakreditasi serta Pilihanraya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UTM, sambutan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Dekan Fakulti, Ketua PTJ dan warga UTM adalah sangat memberangsangkan”. “Secara keseluruhannya, Fiesta ISES UTM 2023 ini berjaya mencapai objektif penganjuran yang diharapkan,” katanya. Manakala Pengarah Program, Encik Abdul Jalil bin Maulani, Timbalan Pendaftar Kanan, Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa kerja yang terdiri daripada warga Jabatan Pendaftar serta beberapa PTJ lain atas kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang perancangan dan pelaksanaan Fiesta ISES UTM 2023.

 

 

Oleh :

Dr. Dina Azleema binti Mohamed Nor

Explore More