Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

‘CATCH ITS’ perkukuh hubungan akademik dan rangkaian antarabangsa UTM dan ITS

SURABAYA, 30 Nov.– Program Colloquium and Transfer Knowledge Exchange Institut Teknologi Sepuluh Nopember (CATCH ITS) telah diadakan pada 27 hingga 30 November 2023 yang lalu melibatkan pelajar pascasiswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari lima fakulti yang berbeza.

Program tajaan UTM International ini merupakan inisiatif Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA) dan dengan kerjasama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia. Penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan pelajar melalui pengalaman pembelajaran di ITS Surabaya, mengambil kira bidang kepakaran masing-masing.

Selain itu, CATCH ITS dilaksnakan dengan matlamat membina peluang jaringan antarabangsa dan kerjasama strategik antara UTM dengan ITS. Perjalanan program CATCH ITS dikendalikan oleh Ir. Prof. Madya Dr. Adhi Yuniarto yang juga merupakan Pengerusi Program Pascasiswazah Teknik Lingkungan di ITS.

Pelajar UTM bersama pengiring di Teknik Lingkungan, ITS Surabaya.

Program ini juga merangkumi kolokium dua hala antara pelajar UTM dan ITS. Program perkongsian ilmu antara pelajar pascasiswazah UTM dan ITS dijalankan pada hari pertama, melibatkan lima orang pelajar doktor falsafah dari kedua-dua institusi. Menurut Ir. Dr. Harmin Sulistiyaning yang juga merupakan salah seorang pensyarah di Teknik Lingkungan, ITS merangkap Setiausaha Akademik jabatan tersebut, program perkongsian ini sangat bermanfaat dalam menggalakkan pelajar bertukar pendapat antara satu sama lain dan pada masa yang sama memberikan pandangan dari sudut berbeza berkaitan penyelidikan yang dijalankan. Timbalan Pengarah IPASA, Ts. Dr. Nur Syamimi Zaidi dalam ucapan aluan beliau berharap agar semua pelajar yang terlibat dapat mempelajari ilmu baru yang boleh membantu dalam menambahbaik penyelidikan mereka.

Aktiviti jelajah kampus yang dipimpin oleh sukarelawan dari Global Kampong ITS.

Terdapat dua aktiviti yang dijalankan pada hari kedua program. Aktiviti pertama adalah pendedahan tentang ITS kepada pelajar UTM. Pelajar dibawa ke pejabat Global Kampong dan disambut oleh Emhari Gigih Pratama yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pelajar Antarabangsa. Emhari telah memperkenalkan beberapa program yang boleh diikuti oleh pelajar UTM seperti kem pelajari Bahasa Indonesia dan eksplorasi Jawa Timur. Manakala aktiviti kedua, Prof. Dr. Azmi telah berkongsi berkenaan Perkhidmatan Pengurusan Kumbahan di Malaysia manakala Prof. Dr. Zainura telah berkongsi berkenaan Persediaan Generasi Muda terhadap Isu Perubahan Iklim kepada pelajar-pelajar ITS.

Pada hari berikutnya, pelajar UTM telah dibawa melawat loji rawatan air sisa domestik dan loji rawatan air larut lesap (leachate) dari tapak pelupusan sampah. Kedua-dua loji ini iaitu Unit Pelayanan Terpadu (UPT) Pengelolaan Air Limbah Domestik (PALD) dan ERIC SWM Kota Malang TPA terletak di Kota Malang, kira-kira 100km dari Surabaya.

Lawatan di UPT PALD Kota Malang, Indonesia.

Kehadiran pihak UTM di UPT PALD Kota Malang disambut oleh Dr. Arif Dermawan yang merupakan Pengarah loji berkenaan. UPT PALD merupakan loji rawatan enapcemar dari tangki septik dan memberi perkhidmatan kepada 1 juta penduduk di sekitar Kota Malang. Antara proses yang dijalankan ialah proses pemisahan dan pengeringan pepejal enapcemar yang kemudiannya diberikan kepada penduduk setempat secara percuma untuk digunakan sebagai baja lanskap. Sistem yang digunakan di tapak ini menarik minat pelajar kerana berasaskan rawatan secara semula jadi.

Lawatan ke Pusat Pengelolaan Sampah ERIC SWM Kota Malang TPA Supit Urang.

Destinasi lawatan kedua ialah ERIC SWM Kota Malang TPA yang merupakan tapak pelupusan sampah. Paulina Ruliawati selaku penyelia loji rawatan air larut lesap – Supit Urang, Kota Malang, telah memberi taklimat tentang proses rawatan yang digunakan di loji tersebut yang merangkumi proses rawatan biologi dan teknologi membran. Ini diikuti oleh lawatan tapak untuk melihat teknologi yang digunakan dengan lebih jelas.

Melalui program CATCH ITS ini, para pelajar telah memperolehi pelbagai manfaat dan pengalaman dari sudut pengebmangan dan peningkatan ilmu yang boleh disuntik dan diaplikasi dalam kerja-kerja penyelidikan di UTM khususnya.

Explore More