Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Bina hubungan baik, MPP UTM terima kunjungan BEM UNSRI

JOHOR BAHRU, 5 Dis. – Pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) Universitas Sriwijaya, Palembang, Indonesia (UNSRI) pada 24 hingga 26 November yang lalu bertempat di UTM Johor Bahru. Kunjungan delegasi BEM UNSRI yang diketuai oleh saudara Mohd Azra D. Dzaky, Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Sriwijaya turut disertai seramai 14 orang barisan kepimpinan BEM UNSRI.

Majlis Perasmian Kunjungan Rasmi Delegasi BEM UNSRI ke UTM.

Kunjugan delegasi BEM UNSRI telah membuka tirai dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk  Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pada 25 November yang lalu. Majlis perasmian tersebut turut disertai oleh saudari Nadratul Huda Ahmad, Yang Dipertua MPP UTM bersama En. Zainuddin, Pegawai Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTM.

“Semoga kunjungan rasmi ini dapat membina jalinan hubungan yang lebih rapat di antara pihak Universitas Sriwijaya bersama UTM dalam setiap bidang termasuklah bidang penyelidikan mahupun bidang pembangunan aktiviti pelajar”, ujar YBhg. Prof. Datuk Fauzi.

Tambah beliau, sesi lawatan penanda aras di antara pihak BEM UNSRI bersama pihak MPP UTM juga dapat memberi peluang kepada kedua-dua belah badan kepimpinan untuk bertukar dan berkongsi pendapat akan strategi pentadbiran dan pengurusan kebajikan serta kegiatan mahasiswa di kampus masing-masing.

Sesi bergambar delegasi Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Sriwijaya dan UTM.

Perbincangan hal-hal kegiatan mahasiswa dan pengurusan pentadbiran di dalam kampus serta isu-isu pendidikan di kedua-dua buah kampus ini turut mengambil tempat pada sesi Lawatan Penanda Aras yang mengambil tempat pada hari kedua Kunjungan Rasmi delegasi BEM UNSRI ke UTM. Perbincangan serta perkongsian maklumat ini telah diadakan di Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar UTM di Student Union Building (SUB) yang turut disertai oleh barisan kepimpinan MPP UTM. Pihak MPP UTM mengambil kesempatan ini untuk berkongsi akan perancangan dan gerak kerja pengurusan di SUB serta perancangan ke arah merealisasikan gagasan Pemerkasaan Mahasiswa oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia.

Barisan kepimpinan MPP UTM bersama barisan delegasi BEM UNSRI bergambar kenangan seusai sesi Lawatan Penanda Aras.

Pada kunjungan rasmi ini juga, pihak BEM UNSRI turut berkesempatan melawat beberapa kemudahan fasiliti yang terdapat di UTM Johor Bahru termasuklah Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Masjid Sultan Ismail, bangunan UTM XCITE dan lain-lain lagi. Lawatan yang diketuai oleh saudari Nadratul Huda Ahmad, Yang Di Pertua MPP UTM ini secara tidak langsung mendedahkan mereka akan keunikan dan kecanggihan fasiliti yang tersedia di UTM.

Lawatan Delegasi BEM UNSRI ke bangunan Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGICX) UTM.
Delegasi BEM UNSRI turut berpeluang melawat Pusat Teknologi Keusahawanan dan Inovasi Pelajar (UTM XCITE).

Kunjungan Rasmi oleh delegasi Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Sriwijaya ke Universiti Teknologi Malaysia selama 3 hari 2 malam ini diharapkan dapat menjadi satu titik mula kepada hubungan yang lebih erat dijalin oleh kedua-dua belah pihak. “Bukan sahaja perbicangan berkenaan isu pendidikan dan pengurusan aktiviti serta kebajikan mahasiswa, bahkan kami berpeluang bertukar pendapat berkenaan keunikan dan kepelbagaian budaya di Malaysia mahupun di Indonesia”, ujar Saudara Mohd Azra D. Dzaky yang teruja dengan layanan dan sambutan yang diberikan oleh pihak pengurusan dan MPP UTM sepanjang kunjungan mereka di UTM. Beliau turut berharap agar hubungan mesra ini dapat diteruskan walaupun sesi kepimpinan akan bersilih ganti pada setiap sesi pentadbiran kepimpinan BEM UNSRI mahupun MPP UTM.

Explore More