Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-67 kini memasuki hari kedua penganjurannya.

Istiadat MK67 Sesi 2 pada pagi ini disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Che’ Puan Khaleeda Binti Bustamam, selaku Pro-Canselor UTM yang melibatkan penerima Ijazah Graduan di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda dalam titahnya pagi ini menitipkan pesanan kepada semua graduan agar sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas di samping berpegang teguh kepada prinsip dan integriti.

“Saya menyeru graduan agar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dengan komited serta memelihara integriti bagi membentuk keperibadian dan jati diri yang tinggi,” kata YAM Che’ Puan Besar Khaleeda.

Dalam dunia serba moden dan pantas berubah, YAM Che’ Puan Besar juga menyeru graduan agar mempersiapkan diri untuk mengharungi cabaran yang mendatang.

Sementara itu, graduan turut diingatkan agar sentiasa mencari keberkatan hidup melalui restu keluarga dan juga pensyarah yang merupakan sumber ilmu.

“Keberkatan daripada ibu bapa dan pensyarah janganlah dilupa kerana sesungguhnya keberkatan ilmu itu adalah daripada redha mereka.”

Dalam pada itu, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, atas penganugerahan berprestij Hadiah Mustafa 2023 baru-baru ini. Ini menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama dan warga rantau Asia Tenggara kedua yang menerima pengiktirafan seumpamanya.

Explore More