Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – Wan Akmal Nazirah binti Wan Ubaidillah, wajah yang tidak asing lagi dalam dunia media sosial. Beliau yang juga lulusan cemerlang jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, telah menarik perhatian komuniti universiti dengan kejayaannya yang luar biasa. Beliau bukan hanya seorang jurutera yang mahir, tetapi juga seorang pemimpin yang dinamik.

Dengan pencapaian bidang kepemimpinan yang cemerlang Akmal Nazirah telah dianugerahkan beberapa anugerah termasuk memperoleh Anugerah Majlis Perwakilan Pelajar Terbaik, Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik, Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan, Anugerah Frontliner Terbaik (Individu), Anugerah Frontliner Terbaik (Pasukan), dan Anugerah Tokoh Sumbangsih di Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa UTM 2021.

Beliau juga dikenali sebagai individu yang aktif dalam pembangunan dan kepimpinan pelajar. Beliau telah menyertai pelbagai kelab dan persatuan, memimpin projek kegiatan mahasiswa, serta menjadi suara pelajar di peringkat universiti.

Kecekapan beliau dalam merangkul cabaran kepimpinan dan menyumbangkan kepada perkembangan ilmu telah meluaskan sayap kepimpinan sebagai seorang Yang-Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP) UTM pada tahun kedua pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik , telah benar-benar membantu beliau untuk mengasah potensi diri dan meninggalkan kesan signifikan kepada mahasiswa di UTM.

Pengalaman sebagai Yang Di-Pertua MPP UTM mematangkan Wan Akmal Nazirah dalam dunia kerjaya beliau.

“Melalui pengalaman ini, saya juga telah berjaya meluaskan pengaruh dalam kalangan wanita dan mengasah mereka dengan karakter bersesuaian untuk turut menjawat jawatan tertinggi di dalam sesebuah organisasi.

“UTM kemudian telah menjadi tumpuan ramai dan ikutan kelab-kelab dan universiti lain untuk melantik presiden di dalam kalangan Wanita yang bersesuaian dengan kelayakan.

“Setelah jawatan sebagai presiden persatuan Majlis Perwakilan Pelajar ini tamat tempohnya, saya telahpun dilamar oleh pihak Hal Ehwal Korporat UTM untuk menjawat jawatan sebagai Felo Penjenamaan UTM dan telah melaksanakan tugas untuk meningkatkan imej UTM dari tahun 2022 sehingga 2023 semasa tempoh pengajian.

 Tidak hanya mencorakkan masa depan beliau dalam bidang kejuruteraan, tetapi juga memanfaatkan pengaruh media sosial untuk memperluaskan impak dan jangkauan. 

“Sepanjang tempoh pengajian saya di sini, saya telahpun berpeluang untuk mengejar minat saya di dalam bidang kejuruteraan elektrik, di samping menceburkan diri dalam dunia maya sebagai pempengaruh media sosial melalui aplikasi Instagram menerusi kolaborasi dengan 15 jenama terkemuka termasuk Cetaphil, BigPay, CU Malaysia, Focus Point, Safi, Spotify, BHPetrol, Lazada, GAMUDA, Zalora,Tenaga Nasional Berhad (TNB), Big Bad Wolf (BBW), Libresse Malaysia, Sun Life Malaysia, dan The Body Shop Malaysia.

“Pengalaman berkolaborasi dengan jenama terkemuka telahpun mengajar saya seni komunikasi yang efektif dan cara berhubung dengan pelbagai audiens, sebuah kemahiran insaniah yang saya percaya amat diperlukan di dalam dunia pekerjaan masa kini. 

Kebolehan beliau untuk menggabungkan teori dan aplikasi praktikal telah membawa kejayaan dan menyokong visi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan kejuruteraan.

Projek Sarjana Muda (PSM) yang telah beliau laksanakan pada tahun akhir pengajian, bertajuk “Anomaly Detection on DC Motor Using Embedded Artificial Intelligence (AI)” berjaya meraih tempat pertama (Anugerah Emas) di dalam kategori kejuruteraan dalam pertandingan Three Minutes Final Year Project (3MFYP) 2023 di samping diiktiraf sebagai Best Undergraduate Research di UTM Undergraduate Research Conference 2023.

“Seperti mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri di mana UTM bakal membuka Fakulti AI yang pertama di Malaysia, dan saya tumpang bangga kerana projek PSM saya sememangnya sejajar dengan agenda tersebut, secara tidak langsung memacu saya dalam membawa agenda “Innovating Solutions” yang telah UTM tanamkan di dalam diri saya.

“UTM telahpun membina aspirasi saya, dan semangat inovasi, kecemerlangan, serta kenangan yang sukar untuk dilupakan. Terima kasih, yang tidak terhingga kepada universiti ini kerana bukan sahaja menawarkan pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga persekitaran yang memupuk impian dan menggalakkan kecemerlangan di dalam kalangan pelajar.

“Saya merupakan saksi akan potensi UTM di dalam perkembangan para pelajarnya, dan saya yakin bahawa perjalanan saya di sini telah membekalkan saya ilmu untuk terus cemerlang di dalam bidang kejuruteraan dimana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah menempah nama setaraf universiti penyelidikan terbaik.

Keazaman dan kecemerlangannya semasa di universiti telah membuka peluang untuknya menyertai salah sebuah syarikat terkemuka dalam industri kejuruteraan.

Pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh Graduan jurusan Fakulti Kejuruteraan Elektrik ini, terutamanya selepas selesai berjihad di medan pendidikan.

Kini, bergelar seorang Jurutera penyelenggaraan dan pembaikan di syarikat gergasi minyak dan gas Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PRefChem) seawal usia 23 tahun.   

Beliau turut rasa bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang mempunyai sistem sokongan yang kuat seperti menatang minyak yang penuh, dari segi cara didikan dan personaliti diri. Banyak mendorong saya untuk mencuba pelbagai perkara dan tidak menghalang saya dalam membentuk keyakinan diri di dunia luar.

Keluarga adalah tapak bina yang membentuk dasar kejayaan. Setiap kejayaan yang diperolehi adalah cerminan daripada nilai-nilai dan pendidikan yang diserap daripada keluarga. Kecintaan, keberanian, dan daya usaha beliau dipupuk daripada nilai-nilai yang ditanamkan sejak kecil oleh keluarga yang prihatin.

Dalam setiap keputusan dan pilihan hidup, ayahnya Wan Ubaidillah bin Wan Musa tidak hanya memberikan sokongan, tetapi juga mendukung keputusan saya. Memberikan sepenuh kepercayaan kepada potensi dan kebolehan saya adalah yang memberi keyakinan untuk mencari jalan dalam membina masa depan yang cerah.  

 

Explore More