Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

UTM raikan 7804 graduan sempena Majlis Konvokesyen ke-67, kekal terajui penghasilan Graduan Berpendapatan Premium

JOHOR BAHRU, 18 Nov.– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan 7804 orang graduan termasuk penerima Hadiah Akademik sempena istiadat Majlis Konvokesyen UTM ke-67 (MK67) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, bermula hari ini. 

Istiadat majlis konvokesyen kali ini berlangsung selama enam hari, dari 18 November hingga 23 November 2023. MK67 tahun ini melibatkan 10 sesi penganugerahan.

Sesi pengijazahan pertama pada 18 November 2023 menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Yang Berhormat Dato’ Daing A Malek Daing A Rahaman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor. Pada sesi yang sama penganugerahan gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada dua orang tokoh akademik, iaitu Dr Tharek Abd. Rahman dan Dr Durrishah Idrus.

Istiadat Majlis Konvokesyen ke-67 UTM telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor bersama-sama Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam, dan YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Salleh Mohd Nor.

Penganjuran istiadat majlis konvokesyen kali ini turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah atas kejayaaan anakanda baginda, Yang Mulia Syed Redzuan Alsagoff Bin Dato’ Syed Omar Alsagoff, memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, UTM kini menerajui kadar Kebolehpasaran Graduan Berkemahiran Tinggi dan Berpendapatan Premium. Pencapaian ini telah merubah sudut pandang Kementerian Pendidikan Tinggi yang kini menjadikan agenda graduan Berpendapatan Tinggi sebagai tumpuan baharu.

Prof. Datuk Fauzi ketika berucap pada sesi pertama MK67.

“UTM akan terus melipat gandakan usaha dalam menyahut saranan YB Menteri Pendidikan Tinggi, pada Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023, 1 November 2023 lalu; untuk menyasarkan kepada peningkatan peratusan graduan memperoleh pendapatan premium RM4,000 sebulan dan ke atas, dengan merancakkan lagi kolaborasi strategik universiti bersama pihak industri serta majikan,” kata beliau.

Inisiatif ini dilihat selari dengan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh pihak Kerajaan kepada Universiti ini dalam mewujudkan dan membangunkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), iaitu fakulti pertama seumpamanya di Malaysia, dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Pembentangan Belanjawan 2024 lalu.

Mengambil kira ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dewasa ini, UTM berperanan memanfaatkan peluang dan cabaran yang ada bagi meninggikan keberhasilan pendidikan tinggi dan modal insan dengan menggilap potensi para graduan yang mampu mencipta teknologi AI dan bukan sekadar sebagai pengguna.

UTM setakat ini telah melahirkan seramai 225,394 graduan dengan 11,301 ialah graduan antarabangsa dari 100 buah negara sejak 1972.

Penganugerahan Ijazah diberikan kepada 569 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 1,407 graduan Ijazah Sarjana,  4,573 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 436 graduan Diploma.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,113 orang graduan antarabangsa dari 48 buah negara turut dianugerahkan ijazah di mana Indonesia, China dan Iraq merupakan tiga negara dengan bilangan graduan tertinggi.

Penganjuran majlis konvokesyen kali ini turut menghargai kecemerlangan graduan melalui pelbagai anugerah, seperti Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor dan lain-lain.

MK67 menyaksikan Nicholas Goh Kyai Earn; Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik Dengan Kepujian dan Danial Iskandar Jafridin; Sarjana Muda Tekologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Manakala lapan orang graduan menerima Anugerah Canselor dan seramai 13 orang graduan menerima Anugerah Pro-Canselor. Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim pula dianugerahkan kepada Eileen Ting Sin Yee; Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi). 

Explore More