Mei 12, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 14 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi lokasi pertama penubuhan Pejabat Satelit TalentCorp di Wilayah Selatan hari ini.

Perasmian pejabat satelit atau lebih dikenali dengan nama TalentCorp-UTM Career Accelerator Mini Office (CAMO) bertempat Pusat Kerjaya UTM Johor Bahru ini telah pun disempurnakan oleh Pengurus Besar, Unit Strategik Modal Insan Johor, Yang Berusaha Puan Tazrina Ahmad mewakili Pengerusi, Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi Mad Shah bersama dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Encik Thomas Mathew, dan Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr Che Rozid Mamat.

Penubuhan ini bertujuan bagi memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kualiti modal insan sebagai tenaga kerja mahir bertaraf dunia dengan berpendapatan premium.

Dalam majlis perasmian ini juga menyaksikan pemeteraian kerjasama melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UTM Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Pertukaran dokumen MoA antaran TalentCorp, Encik Thomas Mathew (dua dari kiri) dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Rosli (dua dari kanan), disaksikan oleh YBrs. Puan Tazrina (tengah).

Jalinan kerjasama ini adalah salah satu inisiatif strategik yang memberi nilai signifikan kepada UTM dalam memperkasa hubungan antara industri dengan akademia dan mempertingkat kebolehpasaran graduan.

Selaras dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyasarkan penghasilan graduan berpendapatan premium dan berkemahiran tinggi, penubuhan CAMO bakal menjadi pusat sehenti maklumat kerjaya untuk menghubungkan pelajar dengan industri, meneroka peluang latihan kerja dan kerjaya dalam industri utama Malaysia selain membantu warga akademik di UTM dalam pembangunan dan semakan kurikulum berteraskan masa hadapan yang selari dengan perkembangan masa kini.

YBrs. Puan Tazrina berkata, “Pejabat satelit ini merupakan bukti bahawa Johor mempunyai bakat-bakat tempatan yang bermutu untuk diserap ke dalam industri serta disokong dengan fasiliti dan ekosistem yang ampuh untuk Pelabur terus bertapak di negeri ini.

Puan Tazrina ketika berucap pada majlis perasmian.

“Dengan tertubuhnya pejabat satelit ini, keberadaan dan fungsi TalentCorp dapat diperkasakan lagi untuk manfaat negeri Johor di UTM, seterusnya membantu tenaga kerja dan industri untuk saling mendapat manfaat antara satu sama lain.

“Kita mahu bakat-bakat berpendidikan dan berkemahiran tinggi yang berada di sini berkerja dan berkhidmat di Johor bagi memenuhi keperluan industri dan para pelabur, ” tambahnya.

Sementara itu, Prof. Rosli berkata “Penubuhan Pejabat Satelit TalentCorp-UTM bukan sekadar mengenai reka bentuk bangunan atau struktur fizikal tetapi tentang pemerkasaan warga UTM untuk bersatu tenaga, berkolaborasi, dan menggerakkan idea serta inovasi yang memberi impak yang positif khusus kepada pelajar, bakal graduan dan masyarakat.”

Prof. Rosli mengharapkan pejabat satelit ini akan menjadi tempat bertemunya minda yang cemerlang, pusat bakat yang memberi manfaat kepada Universiti, kelompok profesional,pelajar, majikan, industri dan rakan akademia.

Menurutnya lagi, CAMO bakal menjadi pusat sehenti maklumat kerjaya untuk menghubungkan pelajar dengan industri, peluang latihan
kerja dan kerjaya dalam industri utama Malaysia melalui pelbagai aktiviti pembabitan industri, sesi jaringan kerja, perkongsian kerjaya dan perkongsian bakat juga turut dapat dilaksanakan.

Agenda hari ini merupakan rentetan daripada penganugerahan Geran Dana Kebolehpasaran Graduan MyNext sejumlah RM100,000 kepada UTM oleh TalentCorp semasa Hari Bertemu Pelanggan KSM pada 26 September yang lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA, Johor Bahru, bagi menjayakan pelaksanaan Program Professional Certificate for Upskilling (PCU) dan Career Preparedness Initiatives (CPI) selain menyediakan Sistem Profiling MyNext kepada pelajar dan graduan UTM.

Dalam pada itu, menurut Encik Thomas Mathew, UTM sebagai penerima pertama Geran Dana Kebolehpasaran Graduan Mynext di Johor dilihat mampu menjadi pemudahcara melaksanakan aktiviti pelajar menggunakan portal Mynext TalentCorp bagi memberikan fokus dalam pembangunan tenaga kerja masa hadapan yang dipacu industri.

Encik Thomas Mathew berharap kerjasama erat ini membuahkan hasil yang lumayan buat negeri Johor dan rakyat Malaysia.

Beliau turut merasakan dengan adanya kerjasama pihak Institut Pendidikan Tinggi dan Kerajaan dalam melunaskan tanggungjawab untuk mengoptimumkan tenaga kerja negara menjadi lebih mudah.

Majlis ini turut dihadiri oleh Dato Idzham Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif, Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), pegawai kanan TalentCorp dan Universiti serta penyelaras kebolehpasaran setiap fakulti.

 

Explore More