Mei 5, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang bermula 18-23 November 2023 dan merupakan konvokesyen yang ke-67 bagi UTM. Konvokesyen kali ini mencatatkan sejumlah 7,804 graduan telah dianugerahkan kelayakan akademik meliputi seramai 569 (Doktor Falsafah), 1,407 (Sarjana), 4,658 (Sarjana Muda) dan 1,170 (Diploma). Sejumlah 6,765 graduan lokal dan 1,039 graduan antarabangsa dari 48 buah negara.

Sehingga Majlis Konvokesyen ke-67, UTM telah berjaya melahirkan seramai 225,394 graduan yang telah menempa kejayaan di pelbagai lapangan kerjaya yang diceburi. Uniknya sebahagian daripada mereka ada yang berasal dari keluarga B40, kampung-kampung tradisi, pinggir bandar dan keluarga berada. Mereka ini semuanya mempunyai peranan yang signifikan dan penting untuk negara Malaysia. Pastinya dengan kepakaran yang ada mereka akan mencari peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakan. 

Berdasarkan data yang diperolehi oleh Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2022, 99% para graduan ini telah mempunyai pekerjaan dan kerjaya yang bersesuaian. Mereka merupakan tunjang harapan untuk Malaysia bagi membangunkan ekonomi negara yang berteraskan inovasi selari dengan Kerangka Ekonomi Madani yang meletakkan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi. 

Graduan UTM juga telah disemai dan digilap dengan kaedah berfikir yang seiring dengan keperluan zaman pada masa kini. Mereka telah dilatih untuk menerokai penyelesaian dan diberikan pendedahan yang menepati keperluan industri dan masyarakat.

Harapan Universiti adalah semua graduan UTM yang dilahirkan bakal menjadi insan yang mempunyai daya saing tinggi untuk berada di alam kerjaya. Mereka diharapkan dapat menjadi pencetus perubahan dalam membantu keluarga keluar dari garis B40, membantu negara meningkatkan inovasi, menjadi ahli masyarakat yang konstruktif, mampu memberi penyelesaian inovatif dan akhirnya memberi sumbangan yang signifikan untuk ekonomi negara dalam pelbagai aspek. 

Graduan UTM diharap menjadi seperti sebuah pokok yang rimbun, berbuah yang boleh dimakan, rimbun menjadi peneduh, boleh dinikmati oleh makhluk kejadian tuhan. 

Tahniah diucapkan kepada semua graduan UTM dan semoga berjaya dalam kerjaya masing-masing yang bakal diceburi.

UTM Sanjungan Bangsa. UTM Menginovasi Penyelesaian. Kerana Tuhan Untuk Manusia.

 

Oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM

Explore More