Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM galak inovasi pembelajaran menerusi NALI 2023

JOHOR BAHRU, 7 Nov. − Universiti Teknologi Malaysia melalui Pusat Pemajuan dalam Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) serta Fakulti Komputeran telah mengimarahkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi melalui penganjuran program New Academia Learning Innovation atau NALI 2023 kali ke-6 pada 6-8 November 2023.

Program NALI 2023 kali merupakan edisi Asia dengan jemputan beberapa wakil rakan dari Jepun, Thailand dan Turki dengan kolaborasi penganjuran bersama Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan Asia Technological University Network (ATU-Net) dan disempurnakan olehNaib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Selari dengan perkembangan semasa dalam pendidikan tinggi, tema program NALI 2023 adalah “Resilience Education for Future-oriented Quality Graduate” yang menumpukan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk membangunkan graduan yang holistik untuk mendepani cabaran masa hadapan.

Program ini melibatkan pertandingan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), ucaptama daripada pakar dari rakan-rakan negara Asia, pembentangan format Pecha Kucha, bengkel inovasi P&P, serta pameran daripada ThaiMOOC, UTM MOOC, UTM Virtual Lab, Fakulti Komputeran UTM dan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTM.

Seramai 90 peserta inovasi dari pelbagai institusi, dan lebih daripada 100 peserta bengkel termasuk guru-guru sekolah di sekitar Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah melibatkan diri dalam program ini.

Sebagai sebuah program signature di UTM bagi menggalakkan inovasi dalam P&P, program NALI 2023 diharap dapat menjadi wadah perkongsian amalan terbaik pengajaran berasaskan penyelidikan untuk meningkatkan mutu P&P di semua peringkat institusi.

Oleh Nurbiha A Shukor dan Ana Haziqah A Rashid

Explore More