April 28, 2024

Search
Close this search box.

UTM-ATM rai Graduan Kohort Pertama Program Khas Sarjana Komputer Inovatif

JOHOR BAHRU, 23 Nov. – Majlis Konvokesyen ke – 67 UTM yang berlangsung dari 18 hingga 23 November 2023 merupakan detik bersejarah bagi Fakulti Komputeran yang turut meraikan graduan kohort pertama program khas pascasiswazah UTM-ATM, iaitu Sarjana Komputeran Inovatif (MiCOMP).

MiCOMP merupakan program khas pascasiswazah yang dibangunkan hasil jalinan kerjasama strategik akademik dan penyelidikan antara UTM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan System Consultancy Services Sdn. Bhd. (SCS). Kerjasama strategik ini membuka peluang kepada kakitangan dan pegawai ATM yang berkelayakan untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana di Fakulti Komputeran.

Kolaborasi UTM-ATM ini melahirkan para graduan yang dilengkapkan dengan kepakaran dari setiap perkhidmatan demi terus memperkasa domain siber ATM sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar.

Program khas MiCOMP menawarkan program pengajian secara sepenuh masa dalam tempoh setahun. Penawaran program khas MiCOMP ini mengambil kira keperluan pelajar yang telah lama meninggalkan alam pembelajaran dan berminat untuk mendalami bidang perkhidmatan mengikut disiplin ilmu yang ditetapkan.

Seramai 13 orang pegawai ATM telah dipilih untuk melanjutkan pengajian dalam program MiCOMP. Mereka merupakan perintis kepada program ini dengan kemasukan kohort pertama pada September 2021. Pegawai ATM ini terdiri daripada tentera darat, udara dan laut.

Gerak kerja dan pembangunan program ini telah bermula sejak tahun 2020 di mana ia menuntut usaha yang gigih daripada pihak task force curriculum MiCOMP yang diwakili oleh Prof. Ts. Dr Dayang Norhayati Abang Jawawi, Prof. Madya Dr. Radziah binti Mohamad, Prof. Madya Dr. Norafida Ithnin, Prof. Madya Dr. Roliana Ibrahim, Dr. Yusliza binti Yusoff, Dr. Johanna Ahmad dan juga pasukan staff sokongan. Program ini juga telah menerima akreditasi penuh dari Malaysia Qualifications Agency (MQA).

Lebih membanggakan, pada MK67 ini dua orang graduan iaitu Lt. Kol Fazliezawati Abdullah dan Mejar Mohamad Fitri Haron berjaya merangkul Anugerah Pascasiswazah Terbaik. Selain itu, para graduan juga berjaya menamatkan pengajian program ini dengan purata Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)  3.85.

Dr Izyan Izzati Kamsani, Penyelaras Program MI Comp bersama 2 graduan selepas sesi penganugerahan ijazah

Dalam pada itu, graduan turut diraikan dalam satu majlis khas yang dianjurkan oleh pihak Fakulti Komputeran bagi meraikan kejayaan para graduan bersama rakan-rakan seperjuangan mahupun dengan pensyarah-pensyarah mereka.  Dr Izyan Izzati Kamsani yang merupakan penyelaras program ini meluahkan rasa syukur dan bangga kerana para graduan berjaya menghabiskan tempoh pengajian seperti yang ditetapkan mengikut pelan kurikulum tanpa sebarang masalah. Ini menunjukkan para graduan komited dan sentiasa memberi respon yang positif  sewaktu tempoh pembelajaran berjalan.

“Pendidikan tidak semestinya bermaksud sekolah formal; ia boleh melibatkan pembelajaran berdikari, latihan vokasional,  dan pelbagai bentuk lain dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran. Pada akhirnya, mengejar pendidikan dapat memperkaya kehidupan seseorang dalam pelbagai cara,” tambah beliau lagi.

 

Explore More