Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – Pengijazahan usai menamatkan pengajian menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar institusi pengajian tinggi. Hari ini seramai hampir 1300 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen UTM kali ke-67.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, graduan pada hari ini telah memberi gambaran bahawa mereka sudah pun memulakan langkah mencorak kehidupan yang sejahtera pada masa hadapan apabila melihat wajah dan suasana ceria mereka.

Keadaan ini dikuatkan lagi melalui perkongsian yang dibuat oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkaitan pencapaian UTM yang kekal antara Universiti Awam mempunyai kadar kebolehpasaran tertinggi sebanyak 99% dan berpendapatan premium dengan gaji minimum RM 4,000.00.

Meskipun kejayaan para pelajar bukan hanya boleh diukur dengan dua pencapaian ini, namun apa yang pasti graduan UTM telahpun dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi yang boleh membantu industri dan kemajuan negara untuk bersaing dalam zaman serba canggih dan pantas berubah.

“Gunakanlah ilmu yang ada untuk membantu dalam meningkatkan ekonomi negara dan juga keluarga memandangkan telah banyak yang mereka curahkan untuk memastikan graduan berjaya pada hari ini.

“Saya mengharapkan graduan UTM menjadi seperti pohon yang rendang, jika berbuah bolehlah kita menumpang makan, rendangnya pula bolehlah kita menumpang teduh,” tambah Prof. Shafry.

Selain itu, beliau turut mengharapkan graduan UTM mempunyai ADAB yang tinggi apabila berkhidmat di lapangan kerjaya dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat di luar sana.

Istiadat MK67 hari ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk. Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Prof. Shafry yang yang juga turut menjalankan tugas sebagai Pengarah Strategi dan Hal Ehwal Korporat percaya penganjuran acara berskala besar dan penting seperti ini melibatkan kerja keras begitu banyak pihak termasuklah warga kerja UTM, para pelajar dan juga kontraktor yang telah dilantik oleh pihak Universiti.

“Berbanyak terima kasih kepada semua pihak kerana berjaya melaksanakan dan menyelia perjalanan MK67 dengan baik sekali,” ujarnya mengakhiri temu bual.

Explore More