Disember 19, 2024

SUKMAS UTMKL sokong aspirasi membangunkan ‘Competitive Team Sports’

KUALA LUMPUR, 5 Nov. – Kejohanan Sukan Mahasiswa UTM Kuala Lumpur (SUKMAS) telah berlangsung bagi memperkasa bakat-bakat sukan dalam kalangan  mahasiswa dan mahasiswi Universiti untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Inisiatif penganjuran ini adalah bagi menyokong aspirasi Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNCHEPA) dalam membangunkan ‘Competitive Team Sports’ melalui Pusat Kecemerlangan Sukan UTM.

Pusat Kecemerlangan Sukan UTM melalui Sekretariat Sukan dan Rekreasi (SSR) yang terdiri daripada 30 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah bergabung tenaga merealisasikan penganjuran kejohanan ini yang menjadi platform yang terbaik untuk para pelajar mengasah bakat dalam kemahiran kendiri, pengurusan, dan pentadbiran khususnya dalam acara-acara sebegini

Kejohanan sukan ini bukan sahaja merupakan satu platform bagi memastikan teras pembangunan sukan universiti terpelihara, malah dapat memperkasakan ukhuwah antara pelajar tempatan dan antarabangsa di UTM Kuala Lumpur yang tidak mengira latar belakang agama, kaum, dan kategori akademik. Inisiatif penganjuran SUKMAS juga adalah selaras bagi menyahut dasar Universiti dan seruan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, di dalam Majlis Amanat Bersama Naib Canselor bertarikh 2 Februari 2023 yang menekankan beberapa elemen kesejahteraan warga universiti yang merangkumi pengukuhan rohani dan jati diri, gaya hidup sihat, dan jalinan ukhuwah.

Kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2022, berlangsung pada 14 sehingga 29 Oktober 2023 di sekitar Kampus UTM Kuala Lumpur dengan melibatkan sembilan jenis sukan (Futsal, Bola Jaring, Frisbee, Dart Mix, Bola Tampar, Dodgeball, 4x1km Relay, Bola Keranjang, dan Badminton Berpasukan).

Seramai 1,000 orang atlet, ketua kontinjen, jawatankuasa induk kejohanan dan Sekretariat Sukan dan Rekreasi yang terdiri dalam kalangan pelajar UTM Kuala Lumpur telah terlibat dalam menjayakan kejohanan ini. Kejohanan ini menyaksikan ahli Kelab/Persatuan Akademik di UTM Kuala Lumpur bersaing untuk merebut tempat bagi memenangi acara yang dipertandingkan.

Pusat Kecemerlangan Sukan UTMKL berjaya menganjurkan kejohanan tersebut melalui kerjasama oleh SSR yang terdiri daripada kalangan pelajar UTM Kuala Lumpur. Sekretariat Sukan dan Rekreasi yang terdiri daripada 30 orang mahasiswa dan mahasiswi UTMKL telah ditubuhkan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTMKL pada 1 Mac 2023 yang lepas. Mahasiswa/mahasiswi tersebut telah dilibatkan bersama dalam setiap pengurusan teknikal kejohanan dan pengurusan sukan yang diselia oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTMKL.

Statistik Pungutan Pingat Kejohanan Sukan Mahasiswa UTMKL (SUKMAS 2023)

Institut Kebisingan & Getaran (IKG), UTM Holding, Masjid UTMKL, dan Isma Mewah Caterer merupakan badan/agensi yang menjadi tulang belakang dengan memberi sokongan padu dan jitu dalam menaja kejohanan. Juara keseluruhan SUKMAS 2023 telah dimenangi oleh Kontinjen PREMECH (Mechanical Precision Engineering) dengan rekod pencapaian 4 Emas, 2 Perak, dan 3 Gangsa

Majlis Penyampaian Hadiah SUKMAS telah disempurnakan oleh Pro Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ketua-ketua Pusat di Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTMKL, Pengetua Kolej Siswa Jaya, Timbalan Pengarah UTM International, dan Ketua Seksyen Keselamatan UTMKL.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM KL, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu menyatakan bahawa SUKMAS perlu menjadi kejohanan tahunan yang wajib dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan bagi memasti pembangunan sukan di peringkat universiti sentiasa di paras yang optimum dan memastikan UTM sentiasa di hadapan dalam mengeluarkan bakat-bakat sukan yang berkualiti tinggi seterusnya mampu bersaing di peringkat tertinggi

Pengerusi Kejohanan merangkap Ketua Pusat Kecemerlangan Sukan juga menyatakan bahawa yakin kejohanan sukan seperti ini adalah penting dalam memastikan kualiti kesihatan, fizikal, mental dan spiritual bagi setiap mahasiswa/mahasiswi sentiasa di paras yang baik bagi menghasilkan produktiviti kerja yang lebih berkualiti dan suasana dan budaya pembelajaran yang lebih ceria. Ia adalah selaras dengan Strategic Objective Pusat Kecemerlangan Sukan iaitu Kesejahteraan Pelajar untuk Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif.

Explore More