Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Kerjaya hakiki sebagai seorang jurutera di Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tidak menghentikan minat beliau dalam dunia keusahawanan. 

Mohd Hafzan Sardi, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini juga merupakan pengasas jenama Songkok Malaya dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Malaya Revolution Sdn. Bhd., sebuah perniagaan yang berfokuskan pembuatan songkok premium dan songkok tradisional.

Selain itu, syarikat ini turut membekal dan menjual butang baju Melayu, kerongsang songkok dan tanjak sama ada untuk perayaan, majlis perkahwinan dan acara-acara kebudayaan. Sehingga kini, empayar Songkok Malaya telah meluas ke lima cawangan di seluruh negara merangkumi Shah Alam, Marang, Bukit Bintang, Seri Iskandar Perak  dan Putrajaya.

“Alhamdulillah, kemenangan meraih Geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) di bawah TERAJU bernilai RM500,000 juga menjadi titik tolak kepada saya dalam mengembangkan lagi perniagaan.

Walaupun sibuk menguruskan hal ehwal perniagaan, namun Hafzan tetap tidak melupakan amanah dan tanggungjawab di LUAS.

“Kerjaya saya di LUAS bermula sejak tahun 2014, sebagai Penolong Jurutera. Antara pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan sepanjang perkhidmatan adalah merangkul Johan dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor pada tahun 2017 dan 2018, menerusi dua projek seliaan saya.

“Dua projek tersebut adalah Projek Pembangunan Kolam Off River Storage Bestari Jaya (2017) dan Projek Pembangunan Landskap Kerjasama dengan Universiti Selangor (2018),” jelas anak kelahiran Sabak Bernam ini.

Mohd Hafzan Sardi terlihat gembira setelah menerima sijil sarjana muda.

Kecemerlangan Hafzan dalam perkhidmatan LUAS turut menerima pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Khas Pengarah pada tahun 2022, 2020 dan 2019 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2018.

Dalam pada itu, Hafzan sempat menitipkan beberapa bait nasihat untuk generasi muda.

“Niat perlu jelas. Tujuan belajar bukan sekadar untuk mencapai jawatan tinggi, tetapi untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Kejayaan ini bukan datang dengan mudah, dan setiap cabaran sebenarnya adalah peluang untuk meningkatkan potensi diri.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada keluarga, pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan memberi dorongan dalam setiap langkah perjalanan. 

“Sebagai alumni UTM, saya bangga menyatakan bahawa Universiti ini telah membentuk mentaliti di samping menggilap bakat tersembunyi dalam melahirkan diri saya untuk lebih kreatif menginovasi penyelesaian menghadapi apa jua cabaran dan rintangan.



Explore More