Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Kerjaya sebagai seorang Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak menghalang Leftenan Komander Mohd Haslam bin Hasan TLDM untuk menyambung dan seterusnya menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau merupakan salah seorang daripada 13 Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpilih untuk melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Komputeran Inovatif (MIComp).

MIComp merupakan program khas pascasiswazah secara sepenuh masa hasil daripada jalinan kerjasama strategik akademik dan penyelidikan antara UTM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan System Consultancy Services Sdn. Bhd. (SCS).

Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir bersama graduan pascasiswazah Program Sarjana Komputeran Inovatif (MIComp), sebuah program kerjasama strategik antara UTM, ATM dan SCS.

Kesungguhan beliau terserlah apabila berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cukup cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ATM kerana menanggung sepenuhnya pengajian ini dan juga TLDM kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Insya-Allah, dengan ilmu dan kepakaran yang dipelajari di UTM ini, saya akan manfaatkan sepenuhnya di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya yang kini diperjawatkan sebagai Pegawai Bekalan, KD TERENGGANU.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada isteri saya yang tercinta Puan Roshalizah binti Azmi atas pengorbanan beliau menjaga dan menguruskan tiga orang cahaya mata kami, terutama sewaktu kami berjauhan sepanjang pengajian ini.

Leftenan Komander Mohd Haslam bin Hasan TLDM bersama isteri dan tiga cahaya mata.

“Tanpa pengorbanan isteri tersayang, tidak mungkin saya akan berjaya dalam menggapai impian memperoleh ijazah sarjana dengan keputusan yang cemerlang.

Isteri menjadi tulang belakang kejayaan Leftenan Komander Mohd Haslam bin Hasan TLDM.

“Kejayaan saya pada hari ini diharap mampu membuka mata dan memberikan peluang kepada lebih ramai anggota ATM untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, seterusnya kepakaran yang diperoleh dapat diaplikasikan di dalam bidang pertahanan negara.

Buat Leftenan Komander Mohd Haslam bin Hasan TLDM:

Dengan ilmu dan kepakaran di dada, terus gagah meredah samudera raya.

Explore More