Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

PUTRAJAYA, 8 Nov. – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil dengan ciptaan platform rangkaian sosial terkini, NexScholar telah mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Challenge on Innovation and Problem-Solving through Technology Advancement (CHIPTA) 2023 bersempena dengan Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) di sini, malam tadi.

Kumpulan penyelidik yang merupakan inisiatif sinergi antara pensyarah dari Fakulti Komputeran, UTM, iaitu Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, dan  Dr. Muhammad Aliif  Ahmad bersama dengan pensyarah Universiti Tun Razak (UTAR), Dr. Seah Choon Sen, meraih tempat ketiga melalui hasil ciptaan yang diberikan nama NexScholar.

Dr Najmi selaku ketua pasukan NexScholar menerima hadiah kemenangan CHIPTA 2023.

NexScholar merupakan platform rangkaian sosial bagi pelajar, ahli akademik, penyelidik dan pemain industri dalam meningkatkan hubungan kolaborasi bagi penyelidikan dan inovasi. Aplikasi hab padanan ini memudahkan kelompok berkenaan mendapatkan maklumat dan membina rangkaian hubungan yang boleh memberi manfaat antara satu sama lain.

Melalui aplikasi ini para pelajar boleh mencari penyelia yang sepadan dengan bidang penyelidikan yang sedang dilaksanakan, selain mendapatkan maklumat berkaitan rujukan seperi journal, peluang pekerjaan dalam kampus, dan kursus peningkatan ilmu yang berkaitan.

Di samping itu, platform menyediakan peluang untuk membolehkan para penyelidik mempamerkan hasil penyelidikan yang dapat menarik pihak industri menjalin kerjasama ke arah pengkomersialan.

Gabungan Dr. Ahmad Najmi yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan sistem, Dr. Muhammad Aliif dalam analisis data, manakala Dr. Seah Choon Sen dalam bidang pemasaran, menjadi kekuatan bagi pasukan ini merealisasikan NexScholar.

Melalui anugerah ini, pasukan NexScholar berjaya membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM 4,000.00 bersama medal dan sijil penyertaan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi, dan Dekan Fakulti Komputeran Prof. Wan Mohd Nasir turut sama meraikan kemenangan pasukan UTM.

Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menampilkan beberapa anugerah lain seperti KIKSA, AINSA, dan ADISa dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM 2.5 juta.

CHIPTA 2023, merupakan acara hackathon yang dianjurkan oleh Unit Pemodenanan Tadbiran dan perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri sebagai satu plaform kepad masyarakat bagi mereka cipta inovasi menggunakan teknologi terkini berasaskan pembangunan aplikasi mudah alih dan pemanfaatan data terbuka seterusnya menggalakkan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam selari dengan pembangunan Malaysia Madani.

Explore More