Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

MK67: Meniti perjalanan kejayaan penerima Anugerah Canselor, Dr. Abu Hassan

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Dr. Abu Hassan Nordin, 30, telah melalui jejak pendidikan yang mengagumkan sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen UTM kali ini. Apa yang lebih membanggakan, beliau merupakan salah seorang penerima Anugerah Canselor yang telah disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM.

Pendidikan beliau bermula di MRSM Gemencheh sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seterusnya mengikuti program asasi di Asasi Sains UiTM Puncak Alam dan melanjutkan perjalanan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Putra Malaysia.

Dari kiri: Dr ahmad ilyas rushdan (penyelia bersama), Assoc. Prof. Ir. Dr. Norzita Ngadi (penyelia utama), saya (Ts. Dr. Abu Hassan Nordin), Pengerusi (Prof Dr. Mohd Azizi), Dr Abdul Halim (pembantu pengerusi), Prof Madya Dr Zainul Akmar (Pemeriksa Dalam)

Dedikasinya terhadap ilmu tidak berhenti di situ, apabila beliau terus memperdalam pengetahuan dengan meraih Sarjana Falsafah Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia, diikuti pemburuan tahap pendidikan tertinggi, iatu Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia, di institusi yang sama.

Sebagai anak bongsu  daripada 6 orang adik-beradik, beliau menjadi kebanggaan keluarga atas pencapaian ini. Lebih mengagumkan, tiga adik-beradik termasuk Abu Hassan, memiliki gelaran Doktor Falsafah dalam bidang yang berbeza. Prestasi ini bukan hanya mencerminkan kecemerlangan peribadi, tetapi juga menandakan kecemerlangan keluarga dalam bidang akademik.

Dorongan kuat beliau untuk menyambung pengajian di peringkat PhD pada asalnya disebabkan oleh kedua ibu bapa beliau yang merupakan pesara guru. Mereka ingin melihat beliau mencapai tahap pendidikan tertinggi di Malaysia, seterusnya menyambung legasi mereka sebagai pendidik yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada generasi seterusnya.  Beliau percaya bahawa kebahagiaan dirinya terletak pada kebahagiaan kedua ibu bapa.

Kesungguhan Abu Hassan dalam mengejar doktor falsafah (PhD) bukan hanya atas dorongan keluarga, tetapi turut diperkukuh dengan sokongan kewangan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui biasiswa Zamalah, iaitu bantuan kewangan kepada pelajar PhD di UTM yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang. Kedua-dua faktor ini menjadi pendorong utama baginya untuk mengatasi cabaran dan menyelesaikan peringkat tertinggi pendidikan di Malaysia.

Namun, kini beliau merupakan seorang jurutera konsultan di sebuah syarikat pembuatan F&B di Sungai Petani. Abu Hassan menggunakan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sebagai suatu platform untuk melunaskan tanggungjawab untuk berkongsi ilmu yang ditimba. Inilah suatu nilai yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya sebagai pesara guru.

Sewaktu beliau mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah,beliau antara pelajar yang terperangkap di dalam kampus UTM rentetan daripada Perintah Kawalan Pergerakan. Keadaan pada masa itu membuatkan beliau terpisah daripada  keluarga tercinta selama setahun dan berhari raya di kampus.

Kerja-kerja penyelidikan beliau juga turut tergendala kerana tidak mendapat akses ke ruang-ruang tertentu akibat SOP yang amat ketat ketika itu. Namun, setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersendiri. 

“Dari terus bersedih, lebih baik saya kembali bangkit,” ujar beliau.

Beliau telah terlibat dalam pelbagai pertandingan penyelidikan dan inovasi, yang tidak hanya memberi pengiktirafan kepada projek kajian beliau tetapi juga mengharumkan nama UTM di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Projek kajian beliau berjaya dianugerahkan dengan penghargaan khusus dari Republic of Croatia, 8 pingat emas, 2 pingat perak, dan 1 pingat gangsa. Beliau juga aktif menerbitkan artikel berimpak tinggi, seterusnya pernah menerima anugerah penulisan terbaik di persidangan yang disertainya.

Antara pencapaian terbaik yang telah diraih oleh Dr. Abu Hassan adalah Special Awards (Kreso Glavac) from Republic of Croatia at Malaysia Technology Expo, Gold Awards in International Borneo Innovation Exhibition & Competition dan Gold Awards in Creation, Innovation, Technology & Research Exposition. 

Semua pencapaian ini, yang pada mulanya hanyalah impian ketika beliau mengalami saat-saat kesunyian di kolej kediaman UTM, kini menjadi kenyataan. Ini membuktikan bahawa dengan tekad yang kukuh, ketekunan, dan rancangan yang baik, kita boleh mengubah cabaran menjadi peluang kejayaan. Perjalanan PhD beliau bukan hanya tentang menyelesaikan tesis, tetapi juga tentang menemukan kekuatan dalam diri sendiri untuk terus maju, bahkan ketika segalanya terasa sukar.

Bagi Abu Hassan, kata-kata bijak yang dipegangnya, “Istiqamahlah seperti matahari yang selalu terbit di pagi hari dan terbenam di senja hari,” menjadi pencerahan dalam setiap langkahnya. Kata-kata ini bukan sekadar motivasi, tetapi juga menjadi panduan agar tetap istiqamah dan tidak menyerah dalam menghadapi setiap tugas.

Explore More