Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Nov. – Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-67 (MK67) melabuhkan tirai hari ini setelah berlangsung selama enam hari di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Secara keseluruhannya MK67 telah pun menyaksikan seramai 6,055 graduan hadir untuk bergraduasi sepanjang 10 sesi pengijazahan. Jumlah ini menjadikan UTM setakat ini melahirkan 225,394 graduan dengan 11,301 graduan antarabangsa daripada lebih 100 buah negara yang kini bergelar alumni.

Kelompok besar alumni ini terdiri daripada 6,969 graduan Doktor Falsafah, 33,386 graduan Sarjana, 3,573 graduan Diploma Lepasan Ijazah, 124,370 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 57,096 graduan Diploma.

Bagi edisi kali ini, jumlah graduan mengikut bidang menyaksikan Fakulti Kejuruteraan Elektrik mencatatkan jumlah graduan tertingi seramai 820 orang, diikuti oleh Fakulti Alam Bina dan Ukur seramai 757 orang dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal pula seramai 684 orang.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi ketika berucap hari ini berkata “Kejayaan hari ini adalah cerminan ketekunan, daya usaha, dan pengabdian graduan dalam menuntut ilmu.

“Hari ini bukan hanya sekadar meraikan pencapaian graduan tetapi merenung wawasan dan aspirasi masa hadapan negara kita, Malaysia, seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara bangsa progresif dan berdaya saing.”

Sementara itu, graduan UTM dilihat sebagai kelompok intelektual masa kini yang perlu bersedia membangun Potensi Insani untuk kekal relevan bersaing dang mengharungi kepesatan perubahan dunia dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI).

Antara graduan yang bergraduasi pada sesi terakhir MK67.

“Potensi Insani ini harus diteroka, digarap, dibangunkan, dan digilap agar melahirkan lebih ramai insan yang bukan sekadar menggunakan AI, sebaliknya mencipta teknologi AI melalui ilmu dan kemahiran tinggi membabitkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan kemanusiaan,” ujar Prof. Datuk Fauzi.

Melalui potensi-potensi sebegini dapat membantu UTM meningkatkan kecemerlangan dan kebitaraan yang boleh dilihat menerusi pencapaian seperti berada pada kedudukan 188 dunia dan 37 di Asia dalam QS World University Rankings, kedudukan pertama di dunia dalam Impact Ranking, Matlamat Pembangunan Mampan bagi Tenaga Mampu Milik dan Bersih (SDG 7) dan pertama di Malaysia bagi Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9).

Explore More