Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Tidak sekadar menjadi Ketua Kampung Baru Masai dan Pengerusi Persatuan Alumni SJK(C) Masai, Dr. Chua Ching Hao menjadi satu inspirasi bahawa kesibukan dalam mengurus hal ehwal masyarakat tidak menghalang beliau daripada melanjutkan dan seterusnya menamatkan pengajian PhD.

“Sebagai Ketua Kampung, saya perlu mendengar denyut nadi komuniti. Perlu cakna setiap aduan dan mengambil berat akan segala keluhan. Dalam masa yang sama, memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang tinggal di kampung dapat dikekalkan.

“Sebagai Ketua Kampung, infrastruktur dan kemudahan asas menjadi perkara yang akan saya utamakan. Saya juga sentiasa menyeru penduduk kampung untuk saling tolong-menolong dan mengambil berat antara satu sama lain.

Dr. Chua Ching Hao menjadi satu inspirasi bahawa kesibukan dalam mengurus hal ehwal masyarakat tidak menghalang beliau daripada melanjutkan dan seterusnya menamatkan pengajian PhD.

Sementara itu, dalam aspek akademik pula, Dr. Ching Hao telah memilih UTM sebagai destinasi bagi perjalanan PhD beliau.

“Kajian saya berkisar mengenai pembelajaran yang menyeronokkan dalam usaha meningkatkan keberkesanan minat belajar dalam kalangan kanak-kanak. Penyelidikan saya ini sememangnya mampu meninggalkan kesan positif kepada kanak-kanak terutama yang tinggal di Kampung Baru Masai.

“Kemajuan pengajian saya sedikit tergugat akibat pandemik COVID-19 terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, semua itu berjaya diatasi dengan bantuan keluarga, penyelia dan rakan-rakan.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada isteri tercinta atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang pengajian terutama dalam mengurus hal ehwal rumah tangga. Tidak dilupakan, Penyelia Utama, Prof. Madya Azlina Kosnin dan Penyelia Bersama, Prof. Yeo Kee Jiar yang sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan yang amat berharga,” ujar beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Sunway College Johor Bahru.

Dr. Ching Hao berhasrat untuk terus berkhidmat dalam industri pendidikan tinggi. Dengan kepakaran dalam bidang psikologi pendidikan, beliau berharap dapat menyumbangkan pengetahuan kepada amalan dan membentuk golongan pelajar yang memahami keindahan matematik serta memupuk minat yang mendalam dalam mata pelajaran tersebut.

Bagi generasi muda atau mahasiswa yang masih berjuang, Dr. Ching Hao memberikan nasihat supaya untuk tidak cepat berputus asa. 

“Jika dihadapi dengan cabaran besar, berehat sejenak. Seperti peribahasa yang menyatakan, istirehat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi.” 

“Rehat adalah penting dalam proses pembelajaran dan perkembangan diri. Teruskan usaha, dan pasti matlamat akan tercapai. Semoga nasihat ini memberi inspirasi kepada generasi muda yang sedang bersemangat mengejar ijazah.

 

Explore More