Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

MK67: Dr. Tharek dan Dr. Durrishah dianugerahi Profesor Emeritus dan Emerita

JOHOR BAHRU, 18 Nov. − Majlis Konvokesyen ke-67 UTM telah melakarkan sejarah bagi dua ahli akademia yang banyak berjasa dalam mencurahkan bakti serta ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing di UTM. 

Kedua-dua tokoh tersebut merupakan penerima gelaran Profesor Emeritus, iaitu Dr. Tharek Abd. Rahman manakala Profesor Emerita, iaitu Dr. Durrishah Idrus. Pengurniaan gelaran tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor UTM.

Dr. Tharek, anak kelahiran Arau, Perlis ini merupakan antara individu penting di UTM dalam meneroka bidang pendigitalan komunikasi apabila menjadi pengasas kepada penubuhan Pusat Komunikasi Wayarles (WCC) di bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik pada tahun 2003. 

Dr Tharek sewaktu menerima pengurniaan gelaran Profesor Emeritus daripada DYMM Tuanku Canselor.

Kecemerlangan beliau dalam memimpin WCC membolehkan pusat ini diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menjadi Pusat Kecemerlangan Berprestasi Tinggi pada 2014 dan menerima geran penyelidikan sebanyak RM 3 juta. 

Pusat ini turut menerima banyak geran penyelidikan daripada Kementerian dan Agensi Kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kepakaran beliau dalam bidang Kejuruteraan Komunikasi menjadikan beliau antara penyumbang penting dalam pembangunan inisiatif 5G di negara ini.  Beliau juga berperanan menghubungkan ahli akademia dengan industri, membentuk kerjasama yang berkesan dan mewujudkan perkongsian strategik bagi menjayakan inisiatif ini. 

Penglibatan beliau di dalam Forum Promosi Komunikasi Mudah Alih 5G Jepun (5G MF) dan Forum 5G Korea menggalakkan pemindahan pengetahuan dan kerjasama dalam Penyelidikan dan Pembangunan 5G.

Ketokohan dan keilmuan beliau dalam bidang telekomunikasi menyebabkan beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2018 dan penasihat kepada National 5G Task Force di SKMM. Beliau turut dilantik sebagai penasihat Academy MCMC pada awal tahun ini.

Sementara itu, Dr. Durrishah Idris yang menerima gelaran Profesor Emerita pada hari ini boleh diibaratkan ‘wanita besi’ lantaran ketokohan kepemimpinan beliau amatlah luas dan pelbagai.

Dr. Durrishah ketika menerima pengurniaan gelaran Profesor Emerita daripada DYMM Tuanku Canselor.

Mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM ini merupakan salah seorang daripada barisan pengurusan tertinggi Universiti sepanjang 2017 hingga 2020. Sewaktu menyandang jawatan ini, beliau  telah dilantik sebagai Ketua Zon Selatan bagi tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang bertanggungjawab menguruskan semua isu dan pergerakan semua pelajar IPTA dan IPTS di bawah kawalan Majlis Keselamatan Negara sewaktu pandemik COVID-19 termasuklah di UTM.

Anak jati Negeri Sembilan ini memulakan kerjayanya bersama UTM pada 1985, sekali gus menjadi titik tolak kepada ketokohan kepimpinan beliau dalam dunia pendidikan tinggi. Beliau pernah dilantik menjawat jawatan Pro-Naib Canselor Kampus yang juga dikenal sebagai Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur bermula 2015 sehingga 2017.

Kebolehan dalam konteks kepimpinan membuatkan beliau dilantik sebagai Dekan wanita pertama Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) UTM dari 2004 hingga 2008. 

Selain itu, beliau berjaya menubuhkan UTM Perdana School of Science, Technology and Innovation Policy pada 2010 yang menyaksikan beliau dilantik sebagai Dekan yang kini diletakkan di bawah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), UTM Kuala Lumpur.

Mempunyai kepakaran dalam bidang Pengurusan khususnya Hubungan Industri melayakkan beliau berkhidmat sementara di sektor swasta pada 2011 sebagai Ketua Eksekutif KPJ International Nursing and Health Sciences College secara pinjaman yang menyaksikan di bawah tampuk pengurusan beliau, kolej ini bertukar status menjadi KPJ Healthcare University College.

Tokoh Wanita CUEPACS 2023 ini kini menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif Kolej Institut Jantung Negara, sebuah syarikat milik IJN.

Explore More