Mei 6, 2024

Search
Close this search box.

Mengembara bersama Sasterawan Negara – Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh

SKUDAI, 16 Nov. – Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bukanlah nama asing dalam dunia kesusateraaan negara. Sasterawan Negara ke-6 ini telah dibawakan khas ke UTM Johor Bahru dalam satu pogram khas, K-Sharing melalui kerjasama Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Selatan (DBPWS).

Tampil menerusi perkongsian bertajuk Mengembara Bersama Sasterawan Negara : Mencari Sempadan Budaya, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkongsi kisah kembaranya ke beberapa negara di seluruh dunia dan kepelbagaian budaya yang disaksikan menjadi inspirasi kepada penghasilan karya yang tinggi nilai sasteranya, terutamanya dalam bidang bahasa.

Profesor Emeritus Dr. Muhammad dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping, Perak. Beliau merupakan salah seorang penulis mapan di Malaysia yang telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1991. Sebagai penyair dan ilmuwan, beliau telah menghasilkan sebanyak 15 koleksi puisi, 5 buah antologi sastera Malaysia dan 12 buku kritikan teori dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Beliau telah memenangi Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1997 dan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara pada 2008.

Ketibaan Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di PRZS

Sebagai pengembara yang mencintai karya sastera, beliau turut menceritakan tentang usahanya mengumpul khazanah pantun Melayu di mana menurut beliau, banyak koleksi pantun yang diperolehi di luar negara. Salah sebuah negara yang turut terpengaruh dengan khazanah pantun Melayu ialah Perancis di mana pantun dikenali dengan istilah ‘pantoun’. Sehingga kini, sebanyak 500 halaman koleksi pantun telah berjaya dikumpulkan.

Menurut beliau lagi, pantun adalah salah satu khazanah penting orang Melayu kerana di situ, segala bentuk pemikiran, sudut pandang kehidupan dan kemahiran berkomunikasi orang Melayu dipersembahkan dalam bentuk yang paling cantik. Beliau juga secara jelas menyatakan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan di antara sastera barat dan sastera Melayu dari segi gaya bahasa di mana gaya bahasa dalam sastera Melayu sangat lembut dan beralun berbanding sastera barat.

Sesi perkongsian oleh Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa manuskrip-manuskrip klasik Melayu yang ditemui di muzium luar negara atau arkib negara luar bukanlah semuanya dicuri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebaliknya hanya sekitar 5% sahaja manakala selebihnya banyak disumbangkan oleh raja-raja Melayu dan para pembesar negeri yang berpendapat apa yang cantik dan indah itu selayaknya dikongsikan sebagai menyantuni hubungan dua negara.

Kembara beliau ke serata dunia menyaksikan bahawa sempadan budaya itu meskipun ketara, namun  ada banyak pertembungan dari sudut sastera yang membuktikan bahawa kita tidak jauh berbeza dalam menafsirkan kehidupan ini. Lebih menarik lagi, pertembungan dan serapan budaya bangsa yang berbeza dapat dilihat dari sudut penterjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa Melayu mahupun sebaliknya. Penterjemahan karya ini adalah bukti keupayaan  kita mengasimilasi corak pemikiran luar untuk digunapakai dalam memperkaya nilai budaya bangsa.

Sesi bergambar kenang-kenangan bersama Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Program diakhiri dengan pementasan mini teater oleh barisan pelakon yang dijemput khas oleh DBPWS bersempena dengan hasil karya Sasterawan Negara. Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah DBPWS, Encik Mohd. Riduwan Wahab dan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Puan Nor Asikin Mohamad.

Explore More