April 28, 2024

Search
Close this search box.

KPM-UTM jalin kerjasama melalui kelestarian teknologi membran watan

JOHOR BAHRU, 13 Nov. – Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia meneruskan usaha kelestarian dalam program kesejahteraan komuniti sekolah melalui pembangunan dan pembekalan sistem rawatan air bersih terawat.

Projek pembangunan dan pembekalan sistem rawatan air bersih terawat di sekolah-sekolah pedalaman di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah dijayakan oleh pihak Advanced Membrane Technology Research Centre dan Bahagian Kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kumpulan ini yang terdiri daripada kalangan akademik, staf Pengurusan, Profesional dan Pelaksana dan teknikal UTM dan KPM merentas pelbagai bidang  yang akhirnya berjaya menyelesaikan kerja-kerja pembangunan, pembekalan dan pengoperasian 53 buah sistem rawatan air bersih terawat di 53 buah sekolah yang telah terpilih bagi Fasa pertama.

Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Encik Ramzi bin Mansor, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bersama Pegawai Bahagian Kewangan KPM dan kumpulan penyelidik UTM.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang juga merupakan ketua program ini, “Projek ini bukan sahaja merangkumi pembangunan, pembekalan dan pengoperasian sistem sahaja, ia juga telah dipakejkan dengan nilai tambah melalui aktiviti pemindahan teknologi, kajian tinjauan dan maklum balas program dengan warga komuniti sekolah”.

Hasil tinjauan dan maklum balas yang telah dijalankan ini, menunjukan program ini sangat berjaya dan sangat memberikan impak besar kepada tahap pengetahuan, kesedaran dan keperluan air bersih terawat dalam kehidupan seharian komuniti sekolah.

Beliau juga berkata, kejayaan projek teknologi watan inovasi membran ini telah memberikan impak besar dan kesejahteraan kepada komuniti sekolah yang sekian lama menhadapi masalah isu bekalan air bersih di sekolah-sekolah.

Teknologi ini telah terbukti berjaya dalam mempelbagaikan portfolio pembekalan air negara seterusnya mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber bekalan air yang sensitif kepada perubahan iklim. Inisiatif program bekalan air bersih ini juga merupakan salah satu program yang diiktiraf oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang juga dikenali sebagai Matlamat Global, telah digagaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015.

Seruan universal ini  bertindak untuk menangani kemiskinan, melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang 2030 semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran di samping memenuhi dua matlamat SDG, iaitu SDG3 (Kesihatan dan kesejahteraan yang baik) dan Matlamat SDG6 (Kebersihan air dan sanitasi).

Kejayaan projek ini juga telah disempurnakan secara simbolik melalui majlis penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) daripada pihak KPM kepada UTM. Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Encik Ramzi Mansor di Dewan Senat, UTM.

Dalam ucapan beliau, projek ini bermula pada 2019 melalui projek rintis bagi tiga buah sekolah dan selanjutnya diteruskan melalui Fasa Pertama program dengan pemilihan 50 buah sekolah yang dikategorikan kritikal isu bekalan air bersih terawat. Sekolah-sekolah ini berbeza sumber air utamanya, iaitu samada daripada sumber air sungai, air tadahan gunung, air bawah tanah mahupun semata-mata air tadahan hujan. Sehingga kini pihak KPM telah menyalurkan dana berjumlah RM8,949,050 melalui tiga jenis geran iaitu PFI II (A) Tahun 2017, Geran Penyelidikan, B63 Tahun 2019 dan Geran Penyelidikan Tambahan, B63 Tahun 2022.

Penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian kerjasama penyelidikan KPM-UTM.

Bersempena dengan majlis rasmi penyerahan dokumen perjanjian ini juga, pihak KPM telah berbesar hati menyerahkan dana peruntukan penyelidikan baharu kepada UTM berjumlah RM 5 juta bagi program kajian penyelidikan kelestarian dan naik taraf sistem rawatan air kepada sekolah-sekolah terbabit. Ini merupakan kesinambungan kepada usaha KPM dalam memastikan sekolah-sekolah pedalaman ini terus mendapat manfaat daripada program ini secara berterusan dan mampan. Projek ini akan diketuai oleh Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Ts. Mohd Sohaimi Abdullah dan Ts. Dr. Ng Be Cheer.

Penyerahan dana peruntukan penyelidikan baharu kepada UTM.

Inisiatif yang diusahakan oleh KPM dengan kerjasama UTM ini menjadi bukti dengan komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak ia akan menjadi penanda aras bagi kejayaan program pembekalan air bersih di sekolah-sekolah pedalaman. Ia juga menjadi tanda dan bukti keprihatinan kerajaan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan peningkatan taraf kesihatan di sekolah pedalaman ini.

https://research.utm.my/amtec/

https://www.facebook.com/people/Advanced-Membrane-Technology-Research-Centre-AMTEC-UTM/100057264617729/

Explore More