Mei 20, 2024

Search
Close this search box.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, MOF adakan lawatan kerja ke FABU UTM

JOHOR BAHRU, 15 Nov. -Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Sr. Abdul Razak Yusak melakukan lawatan kerja ke Program Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) baru-baru ini.

Kunjungan beliau disambut oleh Dekan FABU, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali bersama Pengarah Harta Tanah FABU, Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Mohamed Razali serta para pensyarah Program Harta Tanah.

Dalam sesi pertemuan berkenaan, Prof Madya Dr. Muhammad Najib telah membentangkan secara umum berkaitan latar belakang FABU dan Program Harta Tanah FABU serta inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan sahsiah pelajar, elemen pengantarabangsaan dan hala tuju masa hadapan.

Sementara itu, Sr. Abdul Razak dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada para pensyarah Program Harta Tanah FABU yang turut terlibat bersama-sama dalam melakukan kajian melalui Dana Penyelidikan NAPREC yang diselaraskan oleh Institut Penilaian Negara, iaitu sebuah organisasi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Semasa lawatan kerja ini, Sr. Abdul Razakturut menyampaikan syarahan umum kepada para pelajar berakiatan topik “Pemerkasaan Kualiti Graduan dalam Sektor Hartanah”. Dalam syarahannya beliau menekankan tujuh (7) ciri kebolehpasaran siswazah yang dikehendaki oleh pihak industri yang melibatkan keterampilan diri yang baik, berpengetahuan dan berkemahiran, proaktif, mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, berintegriti, mempunyai semangat berpasukan dan yang terakhir adalah profesional dalam menjalankan tugas.

Bagaikan sireh pulang ke gagang, YBrs. Sr. Abdul Razak merupakan alumni UTM dan mempunyai latarbelakang pendidikan iaitu Diploma Penilaian UTM dan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) UTM. Beliau juga merupakan penilai, ejen hartanah dan pengurus harta berdaftar. Kini, beliau menjawat jawatan penting dalam profesion harta tanah selaku Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta merangkap Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta. Dalam masa yang sama, beliau juga telah dilantik sebagai Profesor Adjung Program Harta Tanah FABU.

Sr. Abdul Razak Yusak (bertali leher merah) bersama barisan peneraju Program Harta Tanah, FABU.

Explore More