Disember 22, 2024

Ikatan kasih realisasi impian raih ijazah sarjana bersama

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Memorabilia kejayaan memenuhi segenap ruang hati dan perasaan pasangan suami isteri ini, Arutkumar a/l Dhanapal dan isterinya, Mohanambal a/p Jayakumaran yang memulai perjalanan ijazah sarjana bersama-sama, malah bertekad akan menamatkan perjalanan pengajian empat semester ini bersama-sama.

Mereka saling melengkapi perjalanan ini bersama malah menjadi penyokong terkuat antara satu sama lain sepanjang pengajian.

Perjalanan mereka bermula tatkala isteri Arutkumar memberi inspirasi dan dorongan untuk mengorak langkah menyambung pelajaran, disamping inginkan nilai tambah baharu dalam diri demi mengembangkan perniagaannya iaitu Lifer Sdn Bhd yang membekalkan alat ganti mesin.

Tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan ini penuh dengan rintangan. Semester pertama memperlihatkan mereka hampir menyerah setelah dibebani tanggungjawab sebagai suami dan isteri, komitmen bekerja dan belajar serentak.

Tidak terhenti di situ, pasangan ini juga menghadapi kekangan kewangan khususnya pada semester dua dan tiga apabila perniagaannya hampir-hampir gulung tikar dek pandemik COVID-19.

Sokongan tidak berbelah bahagi antara mereka berdua sepanjang perjalanan menjadi pendorong kejayaan.

“Kita boleh mencipta beribu alasan namun kita juga sebenarnya mampu mencari satu jalan penyelesaian. Inilah yang menjadi salah satu sumber semangat dan tunjang buat kami untuk tekad menghabiskan perjalanan sarjana ini bersama-sama.

Kisah mereka ini sememangnya menjadi inspirasi bahawa kebersamaan dan semangat untuk saling menyokong antara mereka pasangan suami isteri ini menjadi tunjang kekuatan buat mereka meskipun diuji pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Secara tidak langsung, ia memberi mesej untuk tidak menjadikan badai cabaran sebagai alasan yang menghentikan kita daripada menggapai cita-cita, sebaliknya mencipta penyelesaian untuk menghadapinya bersama-sama.

Explore More