Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

Graduan Kembar Raih PhD Bersama, Cetus Bangga Keluarga Tercinta

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – “Kami saling membantu dan memotivasikan antara satu sama lain,” kata Dr. Shahrulnizahana Mohammad Din, 44, mengenai kejayaan beliau bersama kembarnya Dr. Shahrulnizahani Mohammad Din, menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sewaktu Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-67. 

Konvokesyen UTM ke-67 ini menyaksikan kisah kejayaan dari dua individu yang unik yang juga merupakan pasangan kembar, Dr. Shahrulnizahana dan Dr. Shahrulnizahani. 

Ini adalah suatu kejayaan yang menarik dan luar biasa di mana mereka tidak hanya menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang secara individu, tetapi juga berupaya melalui perjalanan pembelajaran mereka bersama-sama, menunjukkan kesungguhan, kerjasama, dan semangat untuk mencapai matlamat mereka secara bersamaan. 

Pada peringkat permulaan, Dr. Shahrulnizahani mula melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik di UTM dan telah berniat untuk menyambung pengajian PhD. Beliau mula mendaftar pengajian PhD setelah berjaya mendapat pinjaman boleh ubah Graduate Excellence Programme (GrEP MARA) pada November 2018.  

Dalam masa yang sama juga, beliau telah mencadangkan kepada kembarnya, Dr. Shahrulnizahana untuk bersama-sama melanjutkan pengajian PhD di UTM dalam bidang Biosains. 

Akhirnya kedua-dua mereka berjaya melanjutkan pengajian dan mendapat program GrEP MARA yang sama, yang mana memberikan peluang untuk terus fokus dalam pengajian dengan kemudahan cuti belajar bergaji penuh.

“Saya percaya UTM dapat memberikan program, structured courses, fasiliti yang dapat mendukung saya menghabiskan pengajian”, kata Dr. Shahrulzahana akan faktornya memilih menyambung pengajian beliau di UTM.

Pengalaman mereka bermula pada bulan November 2018 bagi Dr. Shahrulnizahani dan Ogos 2019 bagi Dr. Shahrulnizahana apabila mendaftar sebagai pelajar UTM. Namun, perjalanan itu bukan tanpa rintangan, terutamanya dengan cabaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada tahun 2020. 

Kedua beradik ini berkongsi pengalaman mereka apabila kerajaan Malaysia telah mengeluarkan arahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020. Tempoh PKP memberikan impak yang besar kepada pengajian mereka. Pelbagai usaha dilakukan bagi menyesuaikan diri dengan fasa pandemik dan memastikan pengajian dapat diteruskan dengan baik. 

Sebagai contoh, Dr. Shahrulnizahani  telah membawa alat makmal pulang dan terus melakukan kajian, fabrikasi alat dan eksperimen di rumah. Selepas kelonggaran PKP diberikan akses ke makmal masih lagi terhad. Tugasan eksperimen tetap diteruskan bagi memastikan objektif kajian tercapai. 

Pandemik Covid-19 tidak hanya memberi kesan kepada pengajian mereka, tetapi juga memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak. Sebagai ibu kepada anak-anak yang masih bersekolah, kedua beradik ini juga perlu bijak dan kreatif dalam mengurus masa dan urusan untuk memastikan pembelajaran anak-anak tetap terjamin. 

Sokongan suami sebagai ketua keluarga amat penting bagi memastikan kemudahan pembelajaran anak-anak dapat dipenuhi, seperti penyediaan komputer riba dan telefon bimbit kerana pada masa ini pembelajaran atas talian merupakan kaedah utama dalam tempoh pandemik ini. Semua pihak memainkan peranan penting bagi memastikan fungsi utama sebagai ayah, ibu, anak, pekerja dan pelajar dapat berjalan seiring dan lancar. 

Kisah ini tidak hanya tentang pencapaian akademik, tetapi juga tentang kekuatan keluarga, sokongan rakan sebaya, dan semangat untuk terus maju walaupun dalam keadaan paling mencabar. 

Melalui pesanan Dr. Shahrulnizahana, kita diingatkan tentang kepentingan menetapkan matlamat dengan jelas sebelum memulakan pengajian, suatu langkah yang membantu kita mengekalkan fokus dan semangat sepanjang perjalanan akademik.

Dr. Shahrulnizahani dan Dr. Shahrulnizahana turut merakamkan ucapan terima kasih yang mendalam kepada ahli keluarga, khususnya ayah, suami, anak-anak, seluruh keluarga dan keluarga mertua, yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan pengajian mereka. 

Doa yang berterusan daripada keluarga merupakan tunggak utama kejayaan mereka. Dalam kegembiraan yang dicapai, kedua beradik ini juga terkilan kerapa tidak dapat berkongsi kejayaan bersama arwah ibu dan arwah kakak mereka. Walaubagaimanapun, diharap kejayaan ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada adik-adik yang lain. 

Mereka juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyelia dan penyelia bersama yang telah memainkan peranan penting dalam pengajian mereka. Profesor Madya Dr. Leow Pei Ling  dan Dr. Jaysuman Pusppanathan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, juga Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek dan Profesor Dr. Mustaffa Shamsuddin dari Fakulti Sains merupakan inspirasi dan motivasi utama kejayaan mereka. 

Segala tunjuk ajar, nasihat, bimbingan, dan sokongan yang diberikan amatlah berharga dan telah memberikan impak yang signifikan dalam perjalanan akademik mereka.

Tidak hanya itu, penghargaan dan terima kasih Dr. Shahrulnizahani juga dirakamkan kepada pihak UTM, terutama kepada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) yang telah memberi kemudahan cuti belajar dan pelanjutan cuti belajar selama satu semester. 

Beliau juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Petroliam Nasional Berhad yang telah memberikan sampel minyak untuk bahan ujikaji. Dr. Shahrulnizahana yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, KIMIA Malaysia, dan UTM atas kemudahan cuti belajar, penajaan pelajaran, fasiliti, infrastruktur, instrument saintifik, dan geran penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah memudahkan perjalanan pengajiannya dalam masa tiga tahun. 

Peluang yang diberikan atas kapasiti cuti belajar adalah satu pengalaman berharga dalam perjalanan pengajian mereka. Sehubungan dengan itu, mereka ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas peluang pinjaman boleh ubah GrEP MARA yang membiaya pengajian PhD mereka.

Menerusi kisah ini, kita melihat betapa pentingnya sokongan dari pelbagai pihak dalam mencapai kejayaan akademik. Konvokesyen UTM ke-67 tidak hanya menjadi simbol kemenangan akademik, tetapi juga suatu peristiwa yang meraikan semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap mereka yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan pengajian ini. 

Tahniah kepada Dr. Shahrulnizahani dan Dr. Shahrulnizahana, dua individu yang tidak hanya berjaya dalam pengajian mereka tetapi juga menjadi inspirasi bagi yang lain untuk sentiasa bersyukur dan menghargai sokongan orang sekeliling dan institusi yang terlibat.

 

Explore More