Februari 27, 2024

Search
Close this search box.

Graduan disaran kuasai lima atribut penting dunia pekerjaan

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Kecemerlangan graduan dalam pendidikan tidak terhenti dengan kejayaan menggeggam segulung ijazah. Sebaliknya, inilah titik permulaan mengharungi cabaran dunia pekerjaan dan kehidupan sebenar.

Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim, ketika berucap sempena istiadat Majlis Konvokesyen UTM kali ke-67 menyarankan graduan hari ini perlu menguasai lima atribut penting untuk berhadapan dengan perubahan dan cabaran dalam bidang pekerjaan.

“Dalam dunia yang semakin kompetitif kini, tidak cukup jika kita hanya menguasai ilmu dalam bidang kita sahaja,” tegasnya.

Mengambil kira pengalaman lebih 40 tahun beliau dalam bidang perniagaan, graduan menekan penguasaan kemahiran teknologi digital sebagai atribut pertama yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, “Saya menyarankan graduan sekalian untuk membiasakan diri dengan teknologi AI ini dan memanfaatkannya sebaik mungkin dalam pekerjaan kelak.”

Tan Sri Jamaludin ketika berkongsi saranan kepada graduan sebagai tokoh yang cukup berpengalaman dalam industri.

Menurut beliau lagi, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini bakal merubah landskap pekerjaan dan UTM amat bertuah apabila dipilih menjadi penerajui bidang pendidikan tinggi melalui penubuhan Fakulti AI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan peruntukan khas RM 20 juta baru-baru ini.

Selain itu, Tan Sri Jamaludin menekankan peri pentingnya penguasaan kemahiran komunikasi yang baik sebagai atribut kedua, khususnya dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan kini juga bahasa Mandarin yang dapat memberi manfaat dalam bidang pekerjaan selain kemahiran lain, seperti menulis dan penyampaian yang mengikut konteks yang sesuai.

“Biasanya, mereka yang berkomunikasi dengan berkesan dapat memposisikan diri mereka dengan lebih baik dalam pekerjaan dan juga dalam masyarakat secara umum,” tambah beliau.

Sementara itu, sebagai atribut ketiga yang perlu dikuasai oleh graduan adalah kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif yang amat penting untuk mencari penyelesaian unik bagi masalah yang dihadapi di tempat kerja.

“UTM inginkan anda menjadi seorang penyelesai masalah kepada isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri, komuniti dan kerajaan. Namun, penyelesaian itu haruslah inovatif dan bukan penyelesaian rutin,” kata beliau.

Menjadi Insan berdaya tahan dan pantas beradaptasi dengan perubahan dunia menjadi atribut keempat dan kelima yang perlu diambil perhatian oleh graduan.

Beliau menegaskan graduan perlu mampu untuk bekerja di bawah tekanan dan tekal mengharungi cabaran yang dihadapi seterusnya berjaya menangani fasa-fasa kritikal.

“Dalam dunia yang berciri VUCA, iaitu Volatility (Perubahan Pantas), Uncertainty (Ketakpastian), Complexity (Kerumitan), dan Ambiguity (Kesamaran), para graduan sekalian harus bersiap sedia dan menyesuaikan dengan pelbagai perubahan.

“Graduan sekalian harus terus belajar semasa memasuki alam pekerjaan, dengan set minda dinamik dan sentiasa berkembang,” tambah beliau.

Tan Sri Jamaludin merupakan antara tokoh dunia perniagaan yang disegani dengan menerajui beberapa syarikat ternama, antaranya Pengerusi Prasana Malaysia Berhad dan QSR Brands (M) Holdings Bhd, menyampaikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda kepada hampir 1300 orang graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Explore More