Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

Walaupun diduga kanser, azam kuat Muzakkir bawa kejayaan genggam sarjana

JOHOR BAHRU, 19 Nov. – Mohammad Muzakkir Mohamad Hanafiah, 34, membuktikan bahawa keazaman dan semangat yang kuat boleh mengatasi cabaran terberat dalam kehidupan.

Graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Kuasa Elektrik pada Majlis Konvokesyen UTM ke-67 telah berhadapan detik sulit dalam perjalanan hidupnya apabila disahkan menghidap kanser Lymphoma Hodgkin.

Cabaran ini bagaikan badai dahsyat meragut ketenangan hidupnya. Namun, tekad dan semangatnya tidak mudah pudar.

Sebelum menyambung pengajian ijazah sarjana di UTM, Muzakkir memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada tahun 2011. Beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera elektrik di loji kimia di Kertih, Terengganu pada tahun 2012. Kemudian, pada tahun 2018, beliau ditugaskan di loji Pengerang, Johor, dan seterusnya ke Carigali pada tahun 2020 hingga kini.

Dorongan utama Muzakkir untuk menyambung pengajian sarjana adalah kerana keinginan mendalam untuk menguasai bidang kejuruteraan elektrik secara lebih mendalam. Beliau menyedari adanya jurang yang besar antara pengetahuan akademik dan aplikasi praktikal dalam industri. Dengan menyertai program pengajian di UTM dan mengambil mata pelajaran yang ditawarkan, Muzakkir berharap dapat mengisi jurang tersebut sekali gus memperkukuhkan lagi pengetahuannya.

Setelah melalui tempoh rawatan yang panjang dan penuh cabaran, Muzakkir akhirnya melalui fasa pemulihan pada awal tahun 2022. Fasa ini bagaikan memberikan sinar kehidupan yang baharu. Namun, beliau masih lagi perlu menangguhkan pengajian pada semester pertama. 

Dalam tempoh empat tahun, beliau bukan sahaja berhadapan dengan cabaran perubahan persekitaran pembelajaran akibat pandemik Covid 19 bahkan perlu mengambil cuti sakit yang panjang (prolonged medical leave).

Cuti sakit tersebut bukanlah bermakna boleh berehat, tetapi beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi untuk melawan kanser yang menyerang tubuhnya. Walaupun cabaran ini begitu sukar, beliau bersyukur kepada Ilahi kerana diberi kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

Setelah beliau memulakan sesi rawatan kemoterapi, kesan sampingannya selepas menjalani rawatan membuatkan semangat semakin luntur dan rutin proses rawatan yang berulang untuk selama 12 sesi menyebabkan kekuatan tubuh semakin merosot, lemah fizikal dan mental.

Namun akhirnya, Muzakkir berjaya menamatkan pengajian pada bulan Ogos 2023. Kejayaan ini adalah hasil ketekunan, sokongan,  semangat serta doa daripada keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah. Meskipun pernah terfikir untuk membatalkan pengajian, namun tekadnya telah membuatkan beliau mendapat keputusan akademik yang  cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

Muzakkir bersama keluarga yang sentiasa menjadi sitem sokongan terbesar dalam perjuangannya menggenggam Ijazah Sarjana dan melawan penyakit.

Akan tetapi, asbab model pembelajaran yang ditawarkan oleh UTM pada ketika itu masih membenarkan pembelajaran dalam talian menjadikan pembelajaran beliau lebih mudah dan efektif.

Namun dalam keadaan yang begitu kelam seakan pengakhirannya bakal tiba, saat itulah cahaya kekuatan menjelma. Beliau berjaya kembali bangkit atas dorongan ahli keluarga beliau yang tidak putus  memberikan semangat serta doa mereka, khususnya isteri dan ibu bapa beliau telah menjadi pembakar semangat untuk beliau meneruskan semula pelajaran.

Salah satu motivasi utama Muzakkir datang dari kata-kata sahabat lamanya, yang meninggalkan pesanan yang mendalam dalam dirinya, “Jikalau bukan dibuatnya sesuatu itu pada hari ini, bila lagi?” Ungkapan ini, sederhana namun bermakna, menjadi pendorong utama dalam kehidupan Muzakkir. Pesanannya mengingatkan bahawa perubahan dan pencapaian bermula dari langkah pertama, dan setiap usaha kecil di permulaan memiliki potensi untuk membawa perubahan besar.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pensyarah di UTM yang telah banyak membantu sepanjang pengajian beliau empat tahun yang lepas, terutamanya Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Dalila Mat Said, selaku penyelia projek sarjana, Prof. Ir. Dr. Mohd Wazir Mustafa, Prof Madya Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Dr Tan Chee Wei dan pensyarah yang lain.

Explore More