Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

Dr. Siti Nur Aishah: Berjuang Melawan Kesakitan, Akhirnya PhD dalam Genggaman

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Ts. Sr. Dr. Siti Nur Aishah Mohd Noor merupakan seorang graduan yang berjaya mengharungi perjalanan PhD selama 5 tahun di bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, dari tahun 2018 hingga 2023. 

Dengan kegigihan dan semangat ilmu yang membara, Dr. Aishah berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah di bawah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTM Kuala Lumpur. Bidang penyelidikannya mengkhusus dalam Pendigitalan Pembinaan 4.0, menjadikan beliau antara nama besar dalam bidang ini.

Perjalanan PhD beliau pula penuh berliku, ditambah pula beliau disahkan menghidap penyakit Thalasemia, iaitu penyakit darah genetik yang memerlukan transfusi darah berterusan untuk kelangsungan hidup. 

Meski kebanyakan individu mungkin menyerah jika berhadapan dengan keadaan kesihatan yang sedemikian, namun Dr. Aishah membuktikan bahawa semangat dan tekad boleh mengatasi segala rintangan. 

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Kedah, dan seterusnya di Kolej Matrikulasi Kedah, diikuti di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, dan seterusnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sebelum mencapai puncak ilmu di UTM Kuala Lumpur. 

“Saya memilih UTM memandangkan Universiti ini mempunyai barisan penyelidik pakar yang boleh dijadikan rujukan terutama dalam bidang kajian saya.

Takdir Tuhan sekali lagi menguji keazaman dan keteguhan beliau apabila didiagnosis kanser tiroid. Bagi sebahagian besar, ini mungkin menjadi titik akhir perjalanan, tetapi bukan untuk Dr. Aishah.

“Ujian ini bagi saya hanya satu persinggahan dalam menuju kejayaan. Saya juga melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan, dua kali pembedahan di samping sesi radioterapi yang sudah tidak terhitung bilangannya. Namun, hasrat saya untuk menggapai impian menjadi pensyarah tetap saya teruskan walaupun hospital seolah-olah sudah menjadi rumah kedua, ditemani buku dan komputer riba.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan sokongan yang tidak berbelah bahagi keluarga tercinta, disuntik motivasi dan sifat prihatin yang tidak terhingga menerusi Penyelia Utama, Prof. Madya Sr. Dr. Siti Uzairiah Mohd Tobi dan Penyelia Bersama, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Syazli Fathi serta bantuan dan semangat dari rakan-rakan setia sepanjang pengajian.

Gambar selepas viva dengan keputusan minor correction, B1. Bersama pengerusi viva (chairman) – Prof Dr Astuty Amrin, Pemeriksa Luar – Prof Ts Sr Dr Syarul Nizam Kamuruzzaman (UM), Dr Aishah, Pemeriksa Dalam – Prof Madya Sr Sarajul Fikri Mohamed (UTM), Penyelia Utama – Prof Madya Sr Dr Siti Uzairiah Mohd Tobi dan Assistant Chairman – Dr Rohayah Che Amat.

Namun, di sebalik semua cabaran ini, Dr. Aishah mengerti bahwa ujian dan rezeki adalah sebahagian dari takdir yang ditentukan oleh Allah. Semangat, ketekunan, dan keberanian dalam menghadapi segala rintangan menjadi kunci kejayaannya. Kisahnya boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi bagi generasi muda, belajar bahawa cabaran hidup adalah peluang untuk meraih keberhasilan.

Dr. Aishah juga mengingatkan bahawa tidak ada halangan yang tidak dapat diatasi dengan tekad dan semangat yang kuat. Kesungguhan dan kecekalan adalah kunci pencapaian yang tiada tolok bandingnya. Perjuangan ini, dihiasi dengan ujian dan kemenangan, mengajarkan semua bahawa kejayaan adalah hasil dari usaha yang tidak mengenali erti penat lelah dan kekal bertawakal kepada Allah. 

Dr. Aishah bersama suami tercinta meraikan kejayaannya pada hari ini.

Dengan penuh harapan, Dr. Aishah juga berazam untuk menyumbangkan ilmu yang diperolehnya kepada anak bangsa dan memajukan bidang Juruukur Bahan. Dengan semangat “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, Dr. Aishah memberikan inspirasi kepada bakal graduan di luar sana untuk terus menabur bakti dan mengukir nama dalam bidang masing-masing. 

Explore More