Mac 3, 2024

Search
Close this search box.

Diuji detik sukar didiagnos kanser, Farah kekal tabah raih ijazah sarjana

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Selepas disahkan menghidap penyakit kanser tahap 3 pada akhir tahun 2022, kehidupan graduan Sarjana Sains (Perancangan Pelancongan), Fakulti Alam Bina dan Ukur di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nur Farah Jasmin berubah apabila dia perlu mendepani pelbagai liku-liku kehidupan yang penuh cabaran. 

Namun, keazaman Farah yang cekal serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada dua insan tersayang iaitu suami, Muhammad Adam Ezaniz Bin Mohd Nizam dan adik ipar, Siti Fatimah Az-Zahra membuatkan dirinya terus cekal, tabah dan kuat meneruskan pengajian sehingga tamat. 

Berkongsi cerita mengenai kisah hidupnya itu, Farah berkata sejak didiagnos penyakit tersebut, situasi itu membuatnya sedikit tertekan terutama ketika semester akhir pengajian yang memerlukannya menyiapkan segala projek penyelidikan. 

Farah bersama suami, Adam Ezaniz (paling kanan) dan adik ipar, Siti Fatimah Az-Zahra (tengah) ketika ditemu bual.

Projek penyelidikan tersebut membuatnya terpaksa menghadapi perjalanan sukar untuk ke tapak kajian yang terletak di Perkampungan Orang Asli Ruai, Pahang bagi mengumpul data setelah seminggu menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada Disember 2022. 

“Perjalanan dari Klang ke Pahang tidaklah mudah, apatah lagi destinasi adalah di kawasan perumahan orang asli dengan jalan yang tidak rata yang membuatkan saya tidak selesa.” katanya mengenang kembali saat itu. 

Sementara itu, penghargaan tidak terhingga dirakamkan buat penyelia utama, Dr. Nadzirah Binti Hosen yang selalu memberikan sokongan sepenuhnya sepanjang perjalanan Farah melengkapkan baki masa pengajiannya katanya. 

Diminta memberikan kata-kata pesanan kepada mahasiswa yang mungkin berada didalam medan perjuangan yang sama, Farah berkata sokongan dari insan tersayang amat-amatlah diperlukan.

“Cari orang yang boleh memberikan sokongan, kalau kita hadap seorang ujian ini memang takkan berdaya. Dengan sokongan dari insan tersayang maka kita akan kuat.” 

Perjalanan Farah sebagai pesakit kanser wajar dijadikan sumber kekuatan dan inspirasi bagi semua. Arena pendidikan dan penyakit adalah medan perang yang sukar, tetapi kisahnya menunjukkan bahawa dengan tekad, sokongan, dan minda yang berdaya tahan, seseorang itu dapat muncul bukan hanya sebagai pejuang, tetapi akhirnya menjadi pemenang. 

Explore More