Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – “Walau kita tidak mampu mendaki lima anak tangga sekaligus, cukuplah kita berusaha mendaki satu persatu anak tangga itu,” pesan Noor Azilah Aziz, 25, atlet bola jaring negara dan ahli pasukan Johor Jewels yang juga graduan UTM kepada mahasiswa yang sedang berjuang demi meraih segulung ijazah. 

Cinta dan minat Noor Azilah terhadap sukan bola jaring yang amat mendalam telah menempatkan beliau menjadi sebahagian daripada skuad Sukan SEA. Sepanjang keterlibatan sebagai atlet bola jaring, banyak anugerah dan juga pencapaian yang telah dikecapi. Antaranya, membantu pasukan Johor Jewels menjuarai Netball Super League (NSL) pada tahun ini. 

Detik kejayaan dinobatkan sebagai ‘Champions’ di Netball Super League (NSL) pada tahun ini.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, beliau tetap berusaha dan gigih untuk mencapai kejayaan sebagai seorang atlet, dalam masa yang sama mengekalkan kecemerlangan akademik sebagai mahasiswa UTM. 

YAM Che’ Puan Besar Khaleeda antara pendorong dan penyokong utama Azilah dalam sukan bola jaring menerusi pasukan Johor Jewels.

Semangat juang yang tinggi, dan sikap tidak berputus asa adalah rahsia kejayaan Noor Azilah dalam merangkul segulung ijazah Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Sains Sukan) pada 22 November 2023 di Majlis Konvokesyen UTM ke-67 (MK67). 

“My dream comes true,” kata Noor Azilah yang teruja memakai jubah graduasi bersama pingat anugerah dekan setelah dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dalam MK67. 

Tidak hanya hebat di arena sukan, Azilah juga cemerlang dalam pelajaran.

Ketika ditanya kenapa memilih UTM sebagai tempat pengajian, beliau menyatakan UTM merupakan antara Universiti yang memiliki fasiliti sukan yang boleh dibanggakan di peringkat kebangsaan, di samping terbukti melahirkan atlet-atlet yang mempunyai intelektual tinggi.

“UTM adalah salah satu tempat dimana kebajikan atlet terjaga dan ianya terbukti setelah saya menjalaninya sendiri,” ujar beliau yang telah membuat kajian terlebih dahulu akan kebaikan dan kelebihan yang disediakan oleh pihak UTM khusus buat sukan bola jaring.

Kongsi Noor Azilah lagi, beliau kini telah berjaya menempatkan diri sebagai penasihat sukan di Decathlon Toppen serta menjadi jurulatih kepada kelab terbuka bola jaring di Johor Bahru. 

Beliau menyatakan rasa syukur atas pencapaian ini dan berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan, pensyarah UTM serta pegawai UTM yang tidak lokek memberi bantuan dalam memudahkan urusan beliau sepanjang perjalanan beliau meraih ijazah. 

Doa dan restu ibu bapa menjadi azimat Azilah untuk terus cemerlang dalam sukan dan pelajaran.

Beliau juga turut berterima kasih kepada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sudi untuk menerima beliau sebagai pelajar tumpang sementara ketika beliau sedang aktif sebagai atlet Sukan Sea pada tahun 2019.   

Buat Noor Azilah Aziz:- 

Terus terbang tinggi gapai impian, 

Terus curah bakti untuk anak watan,

Biar jasa jadi kenangan,

Selagi nyawa dikandung badan.

 

Explore More