Mei 10, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 2 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia terus membuktikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam dunia kesarjanaan pendidikan tinggi apabila Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023, malam tadi.

Pengiktirafan sekali lagi kepada UTM pada tahun ini merupakan kesinambungan legasi keunggulan sarjana UTM selepas anugerah yang sama pernah diberikan kepada Allahyarham Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd. Jaafar pada tahun yang lalu.

Penganugerahan berprestij ini disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Sufian bersempena Program Wacana Bahasa Melayu Kontemporari dan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023 yang berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) merupakan anugerah terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik pelbagai bidang dalam memperkasa dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terutamanya di institusi pendidikan tinggi.

Prof. Farahwahida bergambar kenangan bersama penerima kategori lain dan tetamu kehormat pada mahlis berkenaan.

Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof, penerima anugerah utama pada majlis ini, merupakan Profesor di Akademi Tamadun Islam dan juga Pengarah Centre of Research for Fiqh Science & Technology (CFiRST) UTM. Nama beliau bukanlah asing dalam dunia penulisan perbukuan lebih-lebih lagi bagi wacana bahasa Melayu. Beliau cukup aktif menulis berkaitan ilmu fiqah dan sains mencakupi buku karya asli, buku penyelidikan, bab dalam buku dan artikel jurnal.

Lulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Akidah dan Pemikiran Islam ini banyak terlibat sentiasa memugar kemahiran dan penggunaan bahasa dalam naskhah penulisannya. Kecintaan dalam bidang penulisan terutamanya dalam dapat menyumbang kepada pemerkasaan syiar Islam menerusi sains dan teknologi diterjemahkan menerusi penghasilan 15 buah buku karya asli ayang kesemuanya berbahasa Melayu, antaranya Pengikat Kasih Sayang (DBP), Kehebatan Al-Fatihah Bukti Kemukjizatan Al-Quran (Penerbit UTM Press), Susu Ibu Wanita dan Pengurusan Stres Menurut Perspektif Islam (Penerbit UTM Press).

Buku nukilan beliau, Kehebatan Al-Fatihah Bukti Kemukjizatan Al-Quran telah dinobatkan sebagai Buku Islamik Terbaik bagi Anugerah Buku Negara 2020/2021. Sementara itu, beliau juga telah berjaya menerbitkan buku Karya Suntingan sebanyak 11 buah judul dan 36 Bab dalam Buku berbahasa Melayu setakat ini. Semangat dan tekad beliau dalam mengangkat kebitaraan bahasa Melayu dalam dunia sains dan teknologi pendidikan tinggi kini terbukti dan menjadi peniup semangat ashli akademik lain pada masa hadapan.

 

Explore More