Disember 27, 2024

UTM rangkul Model Reka Bentuk BIM Terbaik peringkat Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 24 Okt. – Pasukan dari Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah muncul sebagai pemenang tempat ketiga menerusi Anugerah Building Information Modelling (BIM) Tahun 2023 bagi Kategori Model Reka Bentuk BIM Terbaik Prasiswazah dan Siswazah (Secara Berkumpulan) yang dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di Menara Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia sempena JKR BIM DAY 2023.

Pertandingan ini merupakan kali pertama diadakan bagi kategori akademik sempena JKR BIM DAY tahun ini. Memasuki tahun kelima penganjurannya, ia adalah bertujuan bagi meningkatkan penggunaan dan kesedaran mengenai BIM.

Pasukan yang mewakili UTM ini terdiri daripada Chin Jing Yang, Ting Ngien Swee, Muhammad Izzat Mohd Juhari, Nicholas Chieng Kai Liang, Tan Wilson dan diselia oleh Ts. Dr. Mohd Nur Asmawisham Alel.

“Kami gembira, pasukan kami berjaya meraih pencapaian membanggakan apabila mendapat tempat ketiga dalam kategori yang dipertandingkan,” kata Chin Jin yang.

“Kami juga ingin memberi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Miss Cheng Hui Yen atas sokongan teknikal dan nasihat daripada beliau sepanjang proses pertandingan ini.”

Menurut Ting Ngien Swee, pertandingan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kaedah pelaksanaan dan faedah penggunaan BIM berserta rangkaian hubungan kerjasama di antara semua pihak berkepentingan dalam bidang pembinaan.

“Setiap pasukan diberikan tapak projek untuk membina model reka bentuk BIM dalam tempoh 12 minggu sebelum hari pembentangan.

“Setelah itu, kami bermula dengan menganalisis tapak projek tersebut lalu memulakan kerja reka bentuk model arkitek dalam masa yang sama reka bentuk model sivil seperti kerja tanah dan infrastruktur. Setelah selesai reka bentuk model tersebut, analisis dilaksanakan dengan menggunakan Naviswork,” tambahnya lagi.

Berkongsi cabaran yang dilalui, Muhammad Izzat mengakui bukannya mudah untuk mereka memenangi kategori tersebut kerana pertandingan tersebut diadakan di peringkat kebangsaan yang disertai oleh seluruh pengajian tinggi di Malaysia.

“Cabaran paling besar bagi kami adalah untuk belajar sesuatu yang luar daripada bidang pembelajaran kami, walaupun dengan masa yang diperuntukan adalah agak singkat, untuk belajar asas dalam bidang arkitek, mekanikal dan elektrikal serta mempraktikkan dalam model kami.

“Oleh kerana kami telah menjalani latihan industri di berlainan tempat dan negeri, kami memerlukan koordinasi yang tinggi dan komunikasi secara efektif bagi menjadikan projek ini berjaya dilaksanakan/”

“Jadi, pengurusan masa adalah perkara yang kami titik beratkan, walaupun kami sedang menjalankan latihan industri ketika membuat persiapan pertandingan reka bentuk tersebut, kami menggunakan masa rehat kami untuk belajar dan melakukan penyelidikan di Youtube, Google dan buku garis panduan yang berkuat kuasa di Malaysia.”

“Selain itu, kami juga mengadakan perjumpaan sekali setiap minggu untuk memastikan persiapan projek tersebut dalam jadual seperti yang dirancang. Melalui perjumpaan tersebut, kami membincangkan isu yang dibangkitkan dan mencari penyelesaian tersebut bersama-sama secara efektif.”

Dalam pada itu, Muhammad Izzat berharap lebih ramai siswa UTM akan menyertai pertandingan sedemikian rupa pada masa akan datang.

Explore More