April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM ke arah menjadi Pusat Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara

JOHOR BAHRU, 17 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan kali kedua hari ini bagi proses penilaian peringkat akhir daripada pihak NIOSH Certification (NIOSHCert) selepas hampir setahun melepasi lawatan Penanda Aras kali pertama tahu lalu.

NIOSHCert bertanggungjawab dalam mempromosikan pensijilan standard di bawah akreditasi Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan juga telah dilantik oleh Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai badan penilaian bagi Program Pengiktirafan Pusat Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKKP) ini.

Seramai tiga orang penilai dari NIOSHCert iaitu Puan Asiah Nasution Suhaimi, Prof. Dr. Mansor Ahmad dan diketuai oleh Cik Fiona Carolina Albert hadir ke UTM, diiringi oleh dua orang pegawai pemerhati dari JKKP.

Sesi pembentangan dimulakan denganTimbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, diikuti oleh pembentangan lengkap keseluruhan aktiviti serta kumpulan dan pusat penyelidikan berkaitan KKP di UTM oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, selaku ketua Safety and Health Research Group.

Seterusnya pembentangan ringkas dibuat oleh Prof. Dr. Mohd Salman Leong, Pengarah Institut Kebisingan dan Getaran yang kemudiannya diisi dengan sesi penyemakan serta penilaian dokumen dan rekod dan ucapan rumusan terhadap keseluruhan proses.

Pewujudan PKKKP ini adalah rentetan daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Negara 2021-2025 (OSHMP25) yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 3 Oktober 2021. OSHMP25 ini dibangunkan dengan tema KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen. Sebanyak 7 teras strategik dan 29 program telah dibangunkan di dalam blueprint OSHMP25.

Bagi mencapai hasrat serta Petunjuk Prestasi Utama OSHMP25 Teras Strategik 3, Program 3 iaitu ‘Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan KKP,’ terdapat tiga mekanisme sebagaimana yang telah didokumentasikan di dalam blueprint OSHMP25. Dua daripada mekanisma tersebut adalah dengan mengenal pasti bidang kepakaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari semua pusat penyelidikan dan universiti, menyelaras bidang kepakaran KKP setiap organisasi, dan antara yang paling signifikan ialah mengiktiraf universiti dan pusat penyelidikan sebagai pusat kecemerlangan KKP (OSH Centre of Excellence) berdasarkan bidang pengkhususan KKP.

Bagi tujuan pemilhan OSH CoE, beberapa universiti awam dan swasta termasuklah agensi yang berkaitan telah disenaraipendekkan sebagai calon.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan salah satu calon yang disenaraikan dan satu lawatan penanda aras kali pertama telah diadakan oleh pasukan OSHMP25 Teras Strategik 3 (TS3) ke UTM pada 24 Ogos 2022 tahun lalu.

Delegasi tersebut diketuai oleh Ir. Ts. Hazlina binti Yon selaku Pengerusi TS3 dari JKKP Putrajaya, dan turut bersama adalah Dr. Wan Aishah Wan Omar selaku Pengerusi Bersama TS3 dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, wakil-wakil JKKP pusat dan negeri serta wakil dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) juga turut hadir menyertai lawatan tersebut. Hasil daripada lawatan kali pertama ini telah menuntut pihak UTM menyediakan dokumen dan rekod sebenar sebagai bukti pelaksanaan berdasarkan kriteria permarkahan program ini bagi tujuan penyemakan pusingan pertama.

 

Sesi bergambar delegasi dari NIOSHCert dan JKKP Malaysia serta pasukan UTM.

Melalui proses ini juga, semua Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Pusat Kecemerlangan (CoE), syarikat spin-off serta kumpulan penyelidik (RG) yang terlibat dengan KKP termasuklah Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), turut hadir semasa sesi ini berlangsung.

Selain itu mereka juga telah menyumbang kepada pengumpulan dokumen dan bahan bukti bagi proses penilaian. Diharapkan segala usaha gigih pihak UTM ini akan membuahkan hasil yang positif daripada sesi penilaian yang diadakan baru-baru ini seterusnya terpilih dan diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKKP).

 

Pembentangan berkaitan aktiviti penyelidikan KKP di UTM oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim.
Sesi pembentangan berkaitan HiCOE Institut Kebisingan dan Getaran oleh Prof. Dr. Mohd. Salman Leong.
Sesi penyemakan dan penilaian dokumen serta temu bual berlangsung.

 

Oleh Prof. Madya Ir Dr. Mimi H. Hassim dan Ts Muhammad Abdul Razak.

Explore More