Mei 18, 2024

Search
Close this search box.

‘TOT’ Siri 2 penggerak modul keluarga sejahtera Negeri Johor

Johor Bahru, 12 Okt. – Dalam usaha untuk mencapai matlamat menjadikan Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang berwibawa melalui pembentukan keluarga yang sejahtera, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST) serta pensyarah daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Kursus Latihan Bersepadu ToT Penggerak YPKDT Siri 2 bagi menambah ilmu dan memantapkan kemahiran kendiri penggerak yang telah dilantik oleh YPKDT.

 UTM dan YPKDT.

Kursus ini melibatkan dua modul iaitu Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ) yang terdiri daripada 14 modul dan Modul Keluarga Sakinah (MKS) yang mempunyai sembilan modul untuk disampaikan oleh penggerak kepada masyarakat. Penggerak YPKDT merupakan jentera penting dalam membantu untuk memberi kefahaman ilmu agar selari dengan objektif yang ingin dicapai oleh Negeri Johor melalui modul-modul ini.

UTM dan YPKDT bersama penggerak modul MKSNJ dan MKS.

Kursus yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Grand Paragon Hotel, Johor Bahru ini melibatkan seramai 90 orang penggerak YPKDT seluruh ADUN dan Parlimen Negeri Johor, pegawai tadbir YPKDT daerah dan UTM. Bagi siri 2 ini, penggerak telah diberi latihan penyampaian pengisian MOOC, pengucapan awam, cara teknik penyampaian ceramah dan penyampaian serta perkongsian isu-isu semasa bagi memberi panduan dan bimbingan kepada penggerak bagi melonjakkan keberkesanan penyampaian modul MKSNJ dan MKS.

Pelbagai aktiviti dijalankan demi memantapkan skill kendiri penggerak.

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Faezah binti Md Esa, Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT. Turut menghadiri Majlis tersebut Dr. Aminudin Hehsan selaku Pengarah, Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST). Di akhir program ini, diharapkan agar penggerak dapat memperkasakan dan melancarkan gerak kerja dalam memberi penyampaian yang bersesuaian mengikut kepelbagaian masyarakat dan bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama masyarakat negeri Johor yang juga disandarkan kepada falsafah dan hala tuju negeri Johor Darul Ta’zim.

Explore More