April 28, 2024

Search
Close this search box.

Strategi Kepimpinan Guru dalam Pendidikan Inklusif di Sekolah

Pelaksanaan pendidikan inklusif dalam persekitaran pendidikan telah mendapat perhatian dunia. Penerapan konsep pendidikan inklusif adalah salah satu usaha dalam memastikan kesaksamaan pendidikan untuk semua pelajar. Konsep ini memberi peluang yang sama rata kepada pelajar berkeperluan pendidikan khas untuk memajukan akademik dan sosial mereka seperti pelajar lain daripada kelas biasa. Guru perlu memainkan peranan mereka untuk menjayakan konsep ini.

Kemasukan murid berkeperluan khas dalam arus perdana memberi peluang pendidikan yang sama kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira masalah pembelajaran atau ketidakupayaan mereka. Malaysia mula menerima konsep pendidikan inklusif di dalam bilik darjah arus perdana pada tahun 2010. Pelaksanaan pendidikan inklusif ini menuntut kerjasama profesional antara pedagogi pendidikan am dan khas. Guru tanpa mengira bidang yang mereka ceburi, perlu memiliki konsep kendiri yang kukuh. Selain daripada menekankan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam sesebuah subjek, mereka juga perlu meletakkan keperluan pelajar pada tahap tertinggi. Melalui pemahaman yang menyeluruh tentang kepimpinan guru, guru akan dapat menerapkan pendekatan yang sesuai dalam memenuhi keperluan pelajar inklusif dan mencapai kaedah pengajaran bersama yang berkesan dan berkualiti.

Kepimpinan guru dalam persekitaran pendidikan inklusif memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong semua pelajar dengan keperluan pembelajaran yang pelbagai. Pelbagai strategi boleh digunakan oleh guru untuk mempraktikkan elemen kepimpinan guru dalam persekitaran pendidikan inklusif.

Fokus kepada Pembangunan

Menekankan kepada pemupukan potensi kepimpinan guru dan menyokong pembangunan mereka sebagai pemimpin dalam konteks pendidikan. Ia melibatkan penyediaan peluang, sumber dan bimbingan untuk guru meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka dan memberi impak kepada sekolah, rakan sekerja dan pelajar mereka. Antara strategi kepimpinan guru untuk menfokuskan kepada pembangunan adalah melalui latihan dan bengkel kepimpinan, program bimbingan, melaksanakan budaya kolaboratif, Kajian Tindakan dan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

Pengiktirafan

Memberi pengiktirafan atas pengaruh dan peranan mereka terhadap pelajar, rakan sekerja guru dan sekolah. Dengan pengiktirafan itu, guru merasa dihargai terhadap keupayaan, pengetahuan dan sumbangan mereka

Autonomi

Menggalakkan guru memberi sumbangan terhadap pembangunan dan penambahbaikan sistem sekolah. Antara strategi untuk menggalakkan dimensi autonomi dalam kepimpinan guru di sekolah inklusif adalah melalui proses membuat keputusan, Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), dan amalan bilik darjah yang fleksibel.

Kebersamaan

Menggalakkan kebersamaan dalam kalangan guru adalah amat penting untuk kepimpinan guru yang berkesan. Antara usaha yang boleh diambil adalah dengan menjalankan Kajian Tindakan yang dipimpin oleh guru, mewujudkan kerjasama rakan sebaya, menganjurkan bengkel pembangunan profesional dan melaksanakan budaya kolaboratif.

Penyertaan

Memfokuskan kepada penglibatan guru di sekolah dalam membuat keputusan. Antara strategi yang boleh digunakan adalah dengan mewujudkan kumpulan fokus yang diketuai oleh guru, sesi sumbangsaran dan penyelesaian masalah serta bengkel membuat keputusan secara kolaboratif.

Komunikasi Terbuka

Menekankan komunikasi yang telus dan berkesan dalam kalangan guru, pentadbir dan pihak berkepentingan yang lain di dalam komuniti sekolah. Ia memberi tumpuan kepada pemupukan persekitaran di mana maklumat dikongsi, bertukar idea dan maklum balas digalakkan. Antara strategi yang boleh dilaksanakan bagi tujuan ini adalah dengan mewujudkan saluran komunikasi terbuka dan telus, mesyuarat, kumpulan pemikir (think tank)  atau pasukan pembuat keputusan yang saling bekerjasama dan kerap memberi maklum balas.

Persekitaran Positif

Mewujudkan persekitaran yang positif dalam kepimpinan guru adalah penting untuk memupuk kerjasama, meningkatkan pembangunan profesional dan tujuan penambahbaikan.

Amalan kepimpinan guru dalam pendidikan inklusif menunjukkan keprihatinan yang berterusan dalam pembangunan sistem pendidikan inklusif di Malaysia. Sejajar dengan pelaksanaan sistem ini, semua pihak perlu memahami cabaran dalam proses pelaksanaan amalan kepimpinan guru dalam pendidikan inklusif dan mengamalkan strategi yang bersesuaian untuk menentukan keberkesanan sistem ini.

 

Oleh Jamilah Ahmad, Tan Joo Siang danSharifah Osman

 

Explore More