Mei 7, 2024

Search
Close this search box.

Program ‘FABU di Hati’ santuni pelajar Sekolah Layang-Layang Kiri, Perak

 

JOHOR BAHRU, 30 Okt.– Program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, Perak dalam suatu program lawatan sambil belajar.

Lawatan ini diadakan adalah bagi membuka peluang memperkenalkan bidang-bidang program yang terdapat di FABU dan pendedahan awa; kepada pelajar-pelajar di sekolah yang  melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi suatu hari nanti.

Rombongan lawatan ini telah disambut oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, YBrs. Profesor Sr. Dr. Kherun Nita Ali,  Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FABU, YBrs. Profesor Madya Lar Dr. Sapura Mohamad, dan Pengarah Geoinformasi, Profesor Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa,  serta beberapa orang pensyarah kanan program Geoinformasi.

Program yang dinamakan sebagai “FABU di Hati Bersama SMK Layang-Layang Kiri, Perak” ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dekan FABU di Bilik SCALE, C03 FABU.

Program FABU di Hati ini telah disertai oleh 36 orang pelajar daripada pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 4 beserta 5 orang guru pengiring. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi melibatkan program Lawatan Kampus (Campus Tour) dan pelajar-pelajar telah dibawa melawat sekitar tempat-tempat tarikan utama di UTM Kampus Johor seperti Stadium UTM, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, fakulti-fakulti, serta kolej-kolej kediaman.

Di samping itu, para pelajar sekolah juga telah dibawa melawat ke Makmal Ukur Kejuruteraan dan Kadaster (UKK), Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) UTM-PDRM seterusnya diperkenalkan dengan alat-alat ukur secara hands-on di tapak Helipad UTM. Pelajar telah diberi peluang mengendalikan alatan ukur seperti Total Station, dron dan penerima Global Navigation Satellite System (GNSS). Permainan Geocatching yang telah dibantu oleh pelajar-pelajar pascasiswazah merupakan satu permainan duit syiling yang telah disorokkan di dalam tanah dan dengan menggunakan nilai kedudukannya pelajar diminta untuk membuat carian semula duit syiling tersebut menggunakan alat penerima GNSS.

Pada sebelah petangnya, para pelajar telah dibawa melawat ke Makmal Built Environment Extended Reality (BEXER) dan diperkenalkan tentang teknologi realiti maya (VR) dalam program ukur bahan. Seterusnya pelajar dibawa melawat ke Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan berpeluang melihat keunikan seni bina kepelbagaian etnik yang terdapat di serata Malaysia melalui model-model senibina yang telah dibangunkan oleh pelajar seni bina. Akhir sekali, pelajar-pelajar telah dibawa melawat ke Galeri FABU di mana kesemua produk daripada program pengajian di FABU dipamerkan.

Secara keseluruhannya, program FABU di Hati bersama SMK Layang-Layang Kiri ini merupakan satu permulaan yang baik untuk mempromosikan FABU kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah lagi supaya mereka akan lebih berminat untuk menjadi pelapis dalam bidang ini seperti juruukur, jurugeospatial, juurukur bahan, pereka lanskap, juruhartanah, arkitek dan juga pegawai perancang bandar seterusnya memilih UTM sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian kelak.

 

 

 

 

 

Explore More