Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

Kecemerlangan tiada penghujung.

Begitulah ungkapan yang sesuai digambarkan dengan usaha Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menghargai usaha ahlinya dalam terus memupuk usaha menginovasikan penyelesaian dan cemerlang dalam perkhidmatan.

Inisiatif ini dibuktikan melalui penganugerahan kepada ahlinya melalui penganjuran Majlis Anugerah Gemilang PERTISAS yang telah diadakan pada24 September 2023 yang lalu. Anugerah ini juga adalah persediaan ahli untuk terus bersaing dalam anugerah peringkat kebangsaan yang turut dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pegawai Tadbir Universiti Awam (MASTI) yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Anugerah dwitahunan ini diadakan pada sekitar bulan Ogos dan September sempena Hari Pentadbir yang disambut pada 20 Ogos setiap tahun. Pada tahun ini, sebanyak 11 kategori yang dipertandingkan antaranya Anugerah Tokoh Pentadbir, Anugerah Pentadbir Gemilang, Anugerah Pentadbir Harapan, Anugerah Penulisan Ilmiah, Anugerah Penulisan Sosial, Anugerah Khidmat Komuniti, Anugerah Penyelidikan (Skim Penyelidik dan Sains), Anugerah Penyelidikan (Skim-Skim Lain), Anugerah Inovasi Kejuruteraan, Teknologi dan Komunikasi, Anugerah Tadbir Urus Kreativiti dan Inovasi, serta Anugerah Sukan dan Rekreasi. 

Bagi penganjuran kali kedua pada tahun ini, PERTISAS telah menerima 37 penyertaan bagi setiap kategori, sejak permohonan dibuka pada 1 Ogos 2023. Proses penilaian terbahagi kepada penilai dalam dan luar di mana PERTISAS turut melantik tiga orang panel luar iaitu Tuan Haji Wan Mohd Wazir bin Wan Abdul Wahab, Pegawai Teknologi Maklumat – UMT (MASTI/PERENTAS), Encik Mohd Asri bin Husain, Pegawai Tadbir – USIM (PRAGMATIS) dan Encik Chang Lee Wei, Pegawai Penyelidik – UM (PEKERTI). Pelantikan ini turut membuka peluang jaringan hubungan positif antara PERTISAS dan MASTI di samping memastikan ketelusan penilaian.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pendaftar Universiti, Puan Hajah Nor Azizah Ismail yang turut memuji penganjuran kali kedua ini dengan harapan lebih ramai lagi penyertaan pada penganjuran akan datang. Memetik bahawa cabaran bekerja yang semakin mencabar, beliau menyeru semua pentadbir agar sentiasa bersedia dan bersifat tangkas (agile) dalam menerima segala bentuk cabaran pada masa kini.

“Kita mesti terus menjadi tulang belakang kepada universiti di samping menjayakan aspirasi dan matlamat universiti dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Jangan jadi pentadbir kelas kedua!”, ujar beliau dalam ucapan perasmian di Dewan Senat.

Majlis anugerah dimulakan dengan penganugerahan Anugerah Pentadbir Harapan yang disandang oleh Cik Siti Zulfarina Fadzli dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Sambil mengakui agak kerdil jika dibanding dengan figura hebat lain di UTM, beliau turut percaya rezeki yang datang dari Allah tiba ketika kita tidak putus berusaha dan berdoa.

“Insya Allah kalau kita tak berkira tentang kerja, sanggup keluar dari zon selesa dan pupuk diri untuk belajar benda baharu, kita akan sentiasa mencabar diri untuk memanjat lebih tinggi lagi,” kata beliau yang juga Setiausaha PERTISAS.

Sementara itu Dr. Zuhaili Idham dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkul dua anugerah iaitu Kategori Penulisan Ilmiah dan Kategori Penyelidikan (Skim Penyelidik – Sains). Beliau menyifatkan anugerah ini sebagai pengiktirafan kepadanya sebagai pegawai penyelidik dan selalu memastikan sumbangan yang signifikan kepada kecemerlangan penyelidikan di UTM.

“Saya percaya bahawa penganjuran majlis anugerah Pertisas dan MASTI untuk menghargai pencapaian di kalangan pentadbir adalah satu inisiatif yang sangat berkesan dalam memberikan semangat kepada semua ahli untuk terus berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada UTM, sama ada melalui tugas pentadbiran, penyelidikan, inovasi, atau penglibatan dalam khidmat komuniti. Ini juga membuktikan bahawa staf pentadbir memiliki potensi untuk berinovasi dan terus berkembang,” ulasnya.

Pemenang Anugerah Sukan dan Rekreasi, En. Dzulhelmi Mohd Razali juga turut berkongsi rasa gembira dengan terus menyokong budaya work-life balance dalam kesibukan sebagai pentadbir.

“Kita perlu mencuri masa untuk kehidupan sosial dan melakukan aktiviti sosial yang digemari seperti bersukan. Ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan malah melatih untuk kita cepat berfikir dan membuat keputusan”, ujar beliau yang memenangi emas dalam acara bola sepak veteran dan olahraga pada Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam yang lalu.

Pada akhir majlis, PERTISAS turut meraikan pesara yang menamatkan perkhidmatan di UTM. Seramai 10 orang pesara telah hadir memeriahkan majlis sambil berkongsi pengalaman berkhidmta lebih 30 tahun di UTM. Antara yang turut hadir adalah Tuan Haji Dahari Derani, mantan Timbalan Pendaftar Kanan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM, jabatan terakhir beliau sebelum bersara. Dalam ucapan beliau, beliau sempat berkongsi kecanggihan teknologi dan senario politik telah merubah gaya kerja penjawat awam kini dan perlu segera menyesuaikan diri.

“Sejak pandemik, ada sahaja benda baharu yang diwujudkan demi kelangsungan kerja. Mesyuarat atas talian, serta pelbagai lagi kecanggihan teknologi untuk mendapatkan maklumat. Pegawai perlu bijak menghadam maklumat ini untuk menghasilkan output yang sempurna. Masa saya dulu kena call seorang-seorang untuk dapatkan maklumat”, kata beliau.

Senarai pemenang anugerah :

  1. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Pentadbir Harapan) : Cik Siti Zulfarina binti Fadzli (Emas)
  1. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Penulisan Ilmiah) : Dr. Zuhaili binti Idham (Emas), Ts. Dr. Noor Azwani Zainol (Perak), Dr. Muhammad Aizi Mat Salim (Gangsa)
  1. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Penulisan Sosial) : Ts. Dr. Azlin Abd. Jamil (Emas), En. Shamsul Azli Shamsuray (Perak)
  2. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Khidmat Komuniti) : Dr. Muhammad Aizi Mat Salim (Emas), En. Md Yani Kasiren (Perak)
  3. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Penyelidikan – Skim Penyelidik / Sains) : Dr. Zuhaili binti Idham (Emas), Pn. Nurfarhain Mohamed Rusli (Perak), Ts. Dr. Siti Zulaiha Hanapi(Gangsa)
  4. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Penyelidikan – Skim-Skim Lain) : Tiada pemenang
  5. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Inovasi Kejuruteraan, Teknologi dan Komunikasi) : En. Helmee Yaacob (Emas)
  6. Anugerah Pentadbir PERTISAS 2023 (Sukan dan Rekreasi) : En. Dzulhelmi Mohd Razali(Emas), Pn. Enna Fasihah Fadilah (Perak), Pn. Norshima Mohd Sham (Gangsa)

Explore More