Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM angkat martabat suri rumah menerusi Konvensyen Suri 2023

KUALA LUMPUR, 28 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selari dengan slogan “Menginovasikan Penyelesaian” mengorak langkah terkehadapan menjalinkan kerjasama strategik dengan Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan, badan korporat, industri dan komuniti dengan menganjurkan Konvensyen Suri 2023: Persidangan Suri Rumah Kebangsaan (KONSURI 2023).

Program ini merupakan kerjasama antara Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) dengan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta beberapa agensi lain seperti Akademi Dr Har (ADH), Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Program yang turut mendapat tajaan platinum daripada Khadijah International Waqaf (L) Foundation telah mendapat sambutan yang hangat daripada ahli akademik, pelajar pascasiswazah, dan para suri rumah di seluruh Malaysia.

Acara kemuncak adalah Konvensyen Suri yang diadakan pada 28 Oktober 2023, bertempat di Grand Petra Hall, Hotel & Residensi UTM Kuala Lumpur telah mendapat penyertaan hampir 350 orang peserta secara hibrid. Sebanyak 40 kertas kerja penyelidikan dan poster inovasi telah dipertandingkan dalam program ini.

 

Pengarah bersama KONSURI 2023, Dr. Zilal Saari menyambut ketibaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hajah Aiman Athirah Sabu.

 

Perasmian Buku “Suri Rumah: Dalam Sembunyi Menabur Bakti” oleh YB Timbalan Menteri, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu. Bergambar bersama sebahagian penulis.

Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hajjah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh suri rumah yang telah berkhidmat untuk keluarga demi memastikan penjagaan anak-anak dan pengurusan rumahtangga. Sumbangan para suri rumah perlu diambil kira sebagai tenaga kerja dari sudut undang-undang selaras pembangunan negara.

Selain itu, acara diserikan lagi dengan kehadiran Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Negeri Selangor, Yang Berhormat Puan Anfaal Saari dalam ucapannya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited untuk mengangkat suri rumah sebagai salah satu kerjaya Pekerja Sosial dalam Penjagaan Ekonomi. Kerjaya sebagai suri rumah sewajarnya diangkat dan diiktiraf serta diberi penghargaan yang setimpal oleh negara.

Peserta KONSURI 2023 menghadiri secara fizikal dan dalam talian.

Di penghujung acara, Pengarah Bersama KONSURI 2023, Dr. Zilal binti Saari yang merupakan Felo Penyelidik Pembangunan Wanita dan Keluarga, UTM telah membentangkan sepuluh Resolusi KONSURI 2023 seperti berikut:

  1. Menjadikan Persidangan Suri Rumah Kebangsaan sebagai acara berkala dengan mengesyorkan dilaksanakan secara tahunan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sokongan daripada pihak kerajaan, akademia, badan korporat, badan bukan kerajaan dan sosial amat diharapkan.
  2. Mewujudkan usaha pemberdayaan suri rumah dalam aspek pembangunan diri bagi meningkatkan keyakinan, keterampilan dan daya tahan suri rumah. Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) telah menyediakan Model Pembangunan Suri (MPS) untuk memastikan hasrat ini dilestarikan.
  3. Merangka program pemberdayaan suri rumah sesuai dengan keunikan faktor demografi suri rumah yang rencam seperti usia, tahap pendidikan dan taraf sosio-ekonomi kerana setiap subkumpulan ini mempunyai isu dan keperluan yang berbeza.
  4. Mewujudkan sistem sokongan yang lestari semasa suri rumah mengikuti program pemberdayaan suri rumah seperti insentif kewangan bagi menampung kos pembelajaran, kemudahan fasiliti, dan aksesibiliti sistem penjagaan anak-anak.
  5. Memberi pengiktirafan kepada suri rumah dalam usaha menangkis stigma dan persepsi negatif terhadap suri rumah berpendidikan tinggi. Kempen kesedaran bahawa suri rumah turut menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara wajar digiatkan agar harga diri dan keyakinan suri rumah dapat ditingkatkan.
  6. Memulakan inisiatif untuk mengangkat suri rumah sebagai satu profesion kerjaya yang rasmi dan diiktiraf. Penyelidikan berimpak tinggi perlu dilaksanakan segera bagi menganalisis manfaat dalam bentuk material dan bukan material melibatkan pemegang taruh iaitu badan kerajaan, akademia, industri, masyarakat sivil dan persekitaran.
  7. Mewujudkan program akademik di institusi pengajian tinggi yang sesuai untuk mempersiapkan wanita dan lelaki yang kompeten dalam pengurusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Modul perlu dijajarkan dengan mengambil kira terdapatnya kecenderungan wanita untuk menjadi suri rumah walaupun setelah menamatkan pengajian tinggi. Dengan ini, jurang atau statistik kebolehpasaran graduan tidak terjejas apabila wanita memilih kerjaya suri rumah.
  8. Memberi sokongan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kepuasan hidup para wanita sama ada yang memilih kerjaya di luar rumah atau sebagai suri rumah. Setiap pilihan kerjaya tersebut mempunyai cabaran yang perlu dikendalikan dengan bijaksana, cekap dan berpengetahuan.
  9. Mengambil tanggungjawab untuk membangunkan kecerdasan rohani, emosi, fizikal, mental supaya kuat dalam menghadapi segala cabaran kehidupan. Wanita dan lelaki turut perlu meningkatkan kecelikan pengurusan kewangan menuju matlamat ukhrawi dan duniawi.
  10. Menyedari peranan lelaki dan wanita menjadi entiti yang saling melengkapi secara harmoni dan menyeluruh dalam pengurusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak ke arah mewujudkan Malaysia MADANI.
Penghargaan daripada Pengerusi SRR, Puan Rose Jazimah kepada YB Puan Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

 

Barisan jawatankuasa KONSURI 2023 melibatkan ahli SRR dan pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM.

Explore More