Mei 16, 2024

Search
Close this search box.

Perkhidmatan pelajar perlu berubah mengikut kebiasaan generasi baharu – Prof. Shafry

JOHOR BAHRU, 15 Okt. − Demikian petikan kata-kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim sewaktu berucap dalam Sesi Libat Sama bersama para staf akademik dan pengurusan fakulti dalam berkongsi gagasan hala tuju terkini jabatan berkenaan baru-baru ini.

Sesi Libat Sama ini merupakan wadah menebarkan hasrat dan idea jabatan berkenaan seiring dengan pelantikan Prof. Shafry sebagai peneraju baharu pengurusan akademik dan pengantarabangsaan Universiti bermula awal September lalu.

Menerajui jabatan yang menjadi entiti utama Universiti dalam memenuhi peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi awam tersohor negara, beliau sedar akan cabaran dan merasakan perlunya perubahan dalam perkhidmatan kepada pelajar khususnya dalam konteks penawaran akademik bagi mengharungi perubahan landskap sistem pendidikan negara.

“Sejujurnya perkhidmatan akademik kepada pelajar perlu berubah mengikut kebiasaan baharu bagi generasi baharu.

Sesi Libat Sama menghimpunkan para ahli akademik dan pentadbiran JTNCAA bagi mendengar hala tuju yang digariskan.

“Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran mendatang, iaitu cabaran yang menuntut kita untuk memperkasakan budaya berfikir bagi mencari inovasi baharu dalam menyelesaikan tuntutan masa kini,” katanya.

Antara cabaran yang beliau kongsikan ialah usaha menyantuni jurang perbezaan generasi yang menuntut variasi penyelesaian yang tepat, perubahan gaya hidup pasca COVID-19, ledakan peningkatan penggunaan teknologi dalam dunia semasa, perubahan iklim yang memberi kesan kepada kelestarian alam, dan penerokaan ilmu baharu yang boleh menjadi bekal kepada graduan bagi memenuhi kehendak pasaran kerja seterusnya menawarkan penyelesaian kepada masalah sejagat.

“Saya menyeru supaya kita dapat berkolaborasi di antara fakulti untuk menerokai ilmu dan bidang baharu demi kepentingan negara dan dunia,” tegasnya.

Prof. Shafry berkongsi visi dan strategi dalam memperkemas penawaran pendidikan tinggi di UTM.

Dalam mendepani cabaran-cabaran ini, Prof Shafry mengemukakan tujuh tumpuan utama dalam menghasilkan graduan orientasikan masa hadapan yang menjadi fokus penting hala tuju jabatan ini.

Menurut beliau kurikulum sedia ada perlu diperkemas dengan berorientasikan masa hadapan, di samping memperlengkap mahasiswa dengan kompetensi yang diperlukan industri, selain memperbanyak pengajaran berasaskan hasil penyelidikan, iaitu menerusi “Research-Led Teaching” yang membolehkan graduan meneroka ilmu baharu dan menginovasi penyelesaian.

Beliau turut menambah, bakat akademia perlu diperkasa menerusi penggunaan teknologi baharu supaya lebih berinovatif dalam menghadapi cabaran mendidik mahasiswa. Selain itu, Prof. Shafry turut merasakan bahawa kerjasama dengan pihak luar perlu lebih praktikal, strategik, dan berimpak dalam meningkatkan kesohoran bukan sahaja di peringkat lokal bahkan di persada global seperti yang dihasratkan oleh Naib Canselor UTM.

Antara warga JTNCAA khusyuk mencatat pengisian pada sesi berkenaan.

Dalam pada itu, inisiatif Universiti melalui UTMHyFlex dalam penawaran pengajian seperti program secara ODL, MOOC, dan sebahagian kursus pula melalui Microcredential akan diperkemas demi memenuhi perubahan corak pemerolehan ilmu masa kini, selain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar dengan sistem yang lebih sistematik dan dipertingkat.

Sesi turut dilaksanakan secara hibrid bagi membolehkan warga JTNCAA di UTM Kampus Kuala Lumpur dan Kampus Pagoh agar dapat bersama-sama mengambil input daripada program ini.

Penumpuan kepada tujuh perkara berkenaan dilihat amat penting untuk diberi perhatian dan digerakkan oleh seluruh warga JTNCAA dalam melonjakkan citra UTM berlandaskan UTM enVision 2025.

 

Explore More