Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

ISFAHAN, 2 Okt.Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menjadi penyelidik pertama di Malaysia yang menerima pengiktarafan antarabangsa apabila dianugerahi Mustafa Prize bagi tahun 2023 oleh Mustafa Science and Technology Foundation, Iran.

Anugerah dwitahunan ini merupakan pengiktirafan ke atas pencapaian siginifikan sarjana dan penyelidik Islam dalam bidang sains dan teknologi sejak 2015.

Majlis pembukaan anugerah berprestij yang berlangsung di kota Isfahan ini disertai Presiden Iran, Ebrahim Raisi, bersama dengan kehadiran 150 orang sarjana dan saintis ternama dari seluruh negara Islam dunia.

Sementara itu, majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Sains, Teknologi dan Pengetahuan berasaskan Ekonomi, Dr Rouhollah Dehghani Firouzabadi dengan disaksikan oleh hampir 800 hadirin.

Anugerah ini mengangkat kecemerlangan saintis Islam menerusi empat kategori, termasuklah sains dan teknologi maklumat dan komunikasi, sains dan teknologi perubatan dan kehidupan, nanotekonolgi dan nanosains serta lain-lain bidang yang berkaitan sains dan teknologi.

Bagi edisi kali ini, selain Prof. Ahmad Fauzi, empat saintis Islam yang lain turut sama menerima pengiktirafan berprestij ini.
Tiga penerima Mustafa Award 2023 bagi kategori penerima dari negara Islam termasuklah Prof. Ahmad Fauzi, Prof. Samia J. Khoury dari Lebanon dan Prof. Murat Uysal dari Turki.

Prof. Ahmad Fauzi bersama penerima Mustafa Prize 2023; Professor Samia J. Khoury (tengah) dan Profesor Murat Uysal (kiri).

Pengiktirafan berprestij ini merupakan manifestasi kepada kejayaan penyelidikan dan inovasi Prof. Ahmad Fauzi dalam teknologi membran yang terbukti dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam konteks pemerolehan sumber air bersih.
Pencapaian ini menjadi satu lakaran sejarah buat Prof. Ahmad Fauzi Ismail lantaran beliau adalah penerima pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara bagi anugerah berprestij ini.

Prof. Ahmad Fauzi dan trofi Mustafa Prize 2023 yang dimenanginya.

Dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya, UTM dan Kementerian-kementerian di Malaysia terutamanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang banyak menyokong usaha beliau dalam mengembangkan dan merealisaikan kerja-kerja penyelidikannya selama ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada keluarga, UTM yang juga alma mater saya, yang kini saya terajui sebagai Naib Canselor. Tidak lupa juga kepada pasukan penyelidik saya di Advanced Membrane Technology Research Center (AMTEC), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, UTM,” kata beliau.

“Saya juga rasa terhutang budi kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan juga Kementerian Pendidikan yang banyak membuka ruang dan menyokong sepanjang usaha penyelidikan saya,” tambah Prof. Ahmad Fauzi.

Sementara itu, kepakaran teknologi membran dalam bidang Sains Asas dan Kejuruteraan yang dirintis oleh beliau turut diserlahkan lagi menerusi pelbagai pengiktirafan termasuklah The World Academy of Sciences Prize pada 2020, Merdeka Award for Outstanding Scholastic Achievement, IChemE Malaysia Innovator of the Year Award pada 2014, dan Malaysia’s Research Star Award oleh Clarivate Analytics. Pencapaian-pencapaian ini membuktikan ketokohan beliau bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan di arena industri.

 

Menyingkap perjalanan penyelidikan Prof. Ahmad Fauzi, beliau berkata, “Bagi saya, penyelidikan bukan sekadar tuntutan kerjaya, sebaliknya ia lebih kepada minat yang begitu mendalam. Keterujaan memburu penemuan baharu, selain kemunculan ilmu terkini dan melayani rasa ingin tahu yang seakan tidak berpenghujung membuatkan saya lebih bersemangat meneruskan kerja-kerja penyelidikan.”

Pada dasarnya, penyelidikan Prof. Ahmad Fauzi menjurus kepada pembangunan inovasi dalam polimer, bahan bukan organik dan membran matrik bercampur. Kepentingan penggunaan membran sememangnya tidak disangkal terutamanya dalam aspek penyahgaraman air, rawatan air sisa, proses pemisahan gas, penapisan minyak kelapa sawit, termasuklah penghasilan membran elektrolit polimer dan hemodialisis bagi penggunaan sel bahan api.

Impak kepakaran beliau turut diperakui di peringkat antarabangsa melalui pelantikan kerja di beberapa institusi berprestij, seperti Imperial College London, Tokyo University dan Kyoto University. Peranan beliau sebagai peneraju utama dalam membangunkan Advanced Membrane Technology Research Center (AMTEC) di UTM telah meletakkan beliau sebagai tokoh teknologi dan sains membran yang diperakui di persada dunia.

Selain menjadi antara figura utama dalam bidang penyelidikan, Prof. Ahmad Fauzi berjaya menyerlahkan sisi kepimpinan dan pengurusan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM selama enam tahun bermula 2015 hingga 2020 dan diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan dan agensi dalam menerajui pelbagai jawatankuasa khas dalam memperksakan Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan negara.

Explore More