April 28, 2024

Search
Close this search box.

Menjana pemikiran kreatif kanak-kanak prasekolah menerusi pedagogi ‘Fun Learning Toy Library’

PASIR PUTEH, 19 Okt. – Pendidikan Prasekolah merupakan salah satu agenda utama dalam sistem pendidikan di Malaysia dan telah dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pendidikan prasekolah yang berkualiti sangat penting bagi memberi asas yang kukuh dan pengalaman awal melibatkan kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif yang diterapkan di dalam diri kanak-kanak sebagai persediaan untuk memasuki alam pendidikan formal dan pendidikan sepanjang hayat. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, pedagogi berasaskan bermain yang diaplikasikan secara berstruktur dapat membantu meningkatkan kemahiran kognitif, sosial, berupaya menjana pemikiran kreatif, serta meningkatkan motivasi serta tumpuan kanak-kanak. Oleh yang demikian, pedagogi berasaskan bermain di peringkat prasekolah perlu diperkasakan dalam membentuk daya saing kanak-kanak dari segi pengetahuan dan kemahiran.

Peningkatan kepada bilangan kanak-kanak yang memasuki prasekolah menyebabkan tertubuhnya kelas prasekolah tanpa melibatkan kos fizikal yang mana operasi prasekolah hanya menggunakan kelengkapan fizikal dan kemudahan sedia ada di sekolah seperti kerusi, meja, perabot di dalam kelas dan lain-lain peralatan yang sesuai untuk kegunaan prasekolah.  Justeru, pasukan ‘Adopt a Kampung’ telah mengambil inisiatif untuk membangunankan model pelaksanaan pedagogi berasaskan bermain yang lebih sistematik bagi menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif di sebuah prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.

 

Pasukan program yang terlibat dengan pembangunan FLTL bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Abal.

Penasihat program pembangunan yang dikenali sebagai ‘Fun Learning Toy Library (FLTL)’ ini adalah Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed dan dipengerusikan oleh PM Dr. Mohammad Zaki Hassan serta PM Dr. Sa’ardin Abdul Aziz sebagai ketua program. Ahli-ahli lain yang terlibat adalah Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Pn. Rafizah Musa, PM Dr. Roslina Mohammad, Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Norulhusna Ahmad, PM Dr. Shamsul Sarip, Dr. Rasheed Mohamed Kutty dan Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri.

Pasukan ini turut dibantu oleh staf akademik dan bukan akademik dari FTIR seperti Dr. Nor Fazilah Mohd Hashim, Dr. Nik Shahman Nik Ahmad Ariff, Pn. Siti binti Salim, En. Zulkafli bin Mat Hassan, En. Mohd Zury Mohd Nor dan En. Muhammad Faris Mat Nazer. Program ini turut melibatkan perkongsian kepakaran daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti  Srikandi dan Persatuan Kebajikan An-Najjah Selangor (PKAS). Penglibatan 13 orang pelajar dari Kolej Kediaman Siswa Jaya secara tidak langsung dapat menggarap kemahiran mereka dalam mempraktikkan pelbagai bidang ilmu yang telah mereka perolehi secara formal dalam aktiviti bersama masyarakat.

Program ini telah dilaksanakan selama tiga hari bermula dari 15 Oktober 2023 (Ahad) hingga 17 Oktober 2023 (Selasa) di sebuah prasekolah Sekolah  Kebangsaan  Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan. Proses kerja pembangunan FLTL ini terbahagi kepada 3 peringkat iaitu perancangan, pembangunan dan penyerahan projek. Proses perancangan projek dimulakan pada hari pertama melalui pertemuan dan perbincangan diantara pasukan projek dan pihak sekolah. Taklimat ringkas mengenai pelaksanaan pembangunan FLTL telah diberikan oleh ketua projek. Persetujuan daripada pihak sekolah telah dicapai dan diikuti dengan lawatan ke kelas prasekolah tanpa kos fizikal yang terpilih bagi meninjau keadaan dan keperluan yang perlu disediakan termasuklah perancangan susunatur kelas, menyenaraikan keperluan tambahan, persediaan peralatan dan kerja pembersihan ruang berkenaan.

 

Keadaan kelas prasekolah tanpa kos fizikal yang memerlukan pembangunan FLTL.

Proses pembangunan FLTL diteruskan pada hari kedua yang melibatkan aktiviti membersih dan mengecat ruang kelas dengan warna yang lebih ceria untuk menarik minat dan semangat kanak-kanak belajar. Ini diikuti dengan penyusunan perabut dan keperluan lain mengikut susunatur yang telah dirancang. Secara asanya, pembangunan FLTL ini melibatkan 4 modul iaitu modul ‘Shopaholic, ‘Little Chef’, ‘Do It Yourself (DIY)’ dan ‘Green Technology’. Persediaan aktiviti-aktiviti, persiapan untuk majlis penyerahan dan perasmian FLTL turut dijalankan oleh pasukan projek.  Perbincangan bersama guru- guru pra-sekolah, pemerhatian aktiviti pembelajaran sediada dan pengumpulan data juga turut dilaksanakan sepanjang proses kerja ini.

 

Penyusunan semula perabot kelas

 

Proses kerja mengecat ruang luar dan dalam kelas.

 

Ruang bagi pembangunan FLTL mengikut modul.

 

Ruang pentas mini untuk aktiviti kanak-kanak.

Seterusnya, majlis perasmian dan penyerahan Pembangunan FLTL kepada pihak sekolah telah disempurnakan oleh Pro-Naib CanselorUTM Kuala Lumpur, Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh. Dalam ucapannya, beliau berharap agar FLTL ini dapat dijadikan sebagai pusat asas untuk  membudayai ilmu dan membangun kreativiti murid-murid selaras dengan matlamat pendidikan prasekolah, yang berusaha melestari pendidikan awal kanak-kanak dengan penuh kegembiraan. Beliau turut mengesyorkan agar pihak-pihak sekolah sentiasa menyokong aktiviti baik ini dengan mewujudkan kolaborasi bersama dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak agar menjadi insan seimbang dari segi intelek, jasmani, dan rohani/sahsiah. Ucapan terima kasih juga diberikan atas kerjasama semua pihak yang terlibat.

 

Antara tetamu kehormat yang hadir di majlis penyerahan FLTL.

 

Pro-Naib Canselor, UTM Kuala Lumpur, Prof. Ts. Dr. Abd Latif.
Sesi menandatangani plak oleh Penasihat Projek, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed
Sesi menandatangani plak oleh Pro-Naib Canselor.

 

         

 

Kanak-kanak prasekolah melakukan aktiviti permainan dalam pembelajaran.

Explore More