Apabila menyebut soal pekerjaan, tidak dapat dinafikan banyak peluang kerja ditawarkan di negara kita. Namun begitu, apabila persoalan tentang peluang pekerjaan kepada pelajar ibarat katak ditimpa kemarau. Isu peluang pekerjaan adalah sentimen yang sangat sensitif apabila dimainkan dalam kalangan masyarakat.
Seperti kita tahu pekerjaan adalah sesuatu yang dapat membentuk kehidupan seseorang itu menjadi lebih baik. Oleh itu, betapa pentingnya pekerjaan pada zaman sekarang kepada masyarakat lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan menekan masyarakat. Ada antaranya yang perlu melakukan dua jenis pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Seperti kita tahu peluang pekerjaan yang sering dilihat dan ditawarkan banyak dalam bidang perindustrian, antaranya bekerja sebagai operator mesin, operator pengeluaran, sumber manusia (HR), kerani dan supervisor. Ini adalah salah satu peluang pekerjaan yang banyak ditawarkan kepada masyarakat di negara kita.
Sungguhpun begitu, peluang pekerjaan kepada mereka yang mengambil jurusan dalam bidang sukan pada zaman sekarang boleh dikatakan amat terhad seperti telur di hujung tanduk. Oleh itu, pihak yang berkaitan mestilah mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu ini.
Hal ini demikian kerana bagi mereka yang mengambil jurusan dalam bidang pengajian sains sukan atau pendidikan jasmani merupakan permata negara yang perlu dijaga agar ia boleh dijadikan sebagai pembimbing ataupun sebagai tenaga pengajar kepada bidang pengajian sains sukan dan sains kesihatan. Bidang ini tidak tertumpu kepada atlet sahaja bahkan menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat tentang gaya hidup sihat. Ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada negara untuk melahirkan lagi atlet yang cemerlang bukan sahaja pertandingan di negara tetapi juga pertandingan luar negara.
Malahan terbukti anak Malaysia iaitu jurulatih tempatan telah membuktikan kemampuan mereka apabila merantau menjadi jurulatih di luar negara berjaya menjadikan atlet di sana sebagai juara dunia. Menjadi satu kerugian buat negara jika kita tidak memberi tumpuan kepada perkara ini sedangkan kita mengejar sekiranya kepakaran kita berkhidmat di luar negara.
Bagi menyelesaikan isu ini, suara pelajar bangkit memberi saranan kepada pihak yang berkaitan. Pihak yang bertanggungjawab perlu melihat skop pekerjaan dalam bidang sukan dengan lebih meluas, maksudnya kalau berbicara mengenai bidang sukan kita bukan hanya memandang pada satu jenis pekerjaan sahaja seperti jurulatih yang paling sinonim. Namun begitu, pekerjaan dalam bidang sukan mempunyai banyak cabang seperti guru sains sukan di sekolah.
Antara kerjaya dalam bidang sukan yang boleh diluaskan supaya peluang pekerjaan itu lebih banyak dan terbuka, antaranya seperti bidang sukan yang menjurus kepada kejuruteraan. Dalam kerjaya ini kurang penggiat atau pengamal sukan yang melibatkan diri kerana di Malaysia apabila bercakap soal kerjaya jurutera ia lebih kepada jurutera binaan atau jurutera elektrik dan sebagainya. Tatkala banyak kerjaya yang ditawarkan dalam bidang kejuruteraan sukan seperti pengurus stadium ataupun fasiliti sukan yang memerlukan kepakaran kejuruteraan dan teknologi sukan.
Di samping itu, kerajaan negeri perlu meneliti semula tempat-tempat perubatan sukan yang boleh menempatkan mereka yang mahir dalam bidang sains sukan. Boleh dikatakan pekerjaan dalam bidang perubatan sukan juga banyak dilakukan di negara ini seperti bidang juruterapi sukan dan fisioterapi. Penubuhan ISN perlu berada di setiap negeri agar atlet akar umbi dan atlet pembangunan dapat menggunakan teknologi sukan yang canggih seperti di ISN Kuala Lumpur.
Pekerja terlatih dalam bidang Fisioterapi pada zaman sekarang amat diperlukan di mana-mana tempat kerana permintaannya di pasaran amatlah tinggi dan pendapatannya juga lumayan. Namun begitu, ahli fisioterapi lebih memberi tumpuan kepada pemulihan terapi dan rehabilitasi orang awam berbanding atlet sukan.
Hal ini demikian kerana kurangnya staf untuk memberi fokus kepada terapi sukan. Justeru itu, ia ibarat sebiji kek yang besar di mana rezeki itu perlu dikongsi bersama kerana sehingga hari ini kita masih belum cukup juruterapi sukan untuk membantu pemulihan atlet secara berkesan di seluruh negara. Pelajar sains sukan di tempat pengajian masing-masing perlu dilengkapkan ilmu terapi dan rehabilitasi sukan untuk membantu pemulihan atlet secara berkesan dalam pasukan. Keadaan ini juga dapat membantu negara di mana kita dapat menghantar dan menyediakan atlet terbaik di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri boleh melabur dalam kemajuan sukan tanah air dengan menubuhkan satu pusat kecemerlangan sains sukan seperti Institut Sukan Negara di setiap negeri. Walaupun kosnya begitu besar jika ingin dilaksanakan, namun ia memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Dengan adanya penubuhan pusat kecemerlangan sains sukan ini ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang mahir dalam bidang sukan dan sains kesihatan. Setidaknya apabila kita meletakkan orang yang betul untuk mengendalikan sesuatu pekerjaan yang sememangnya adalah bidang mereka maka kita tidak perlu risau tentang pembangunan sukan secara berkesan di peringkat akar umbi dan pembangunan dalam negara kerana mereka tahu menggunakan sains sukan untuk melahirkan atlet yang berkualiti ke arah permata Olimpian Sukan Dunia di mana semuanya bermula dari perancangan yang betul serta mempunyai matlamat dan visi yang jelas. Sebagai contoh yang baik, jelas kewujudan Pusat Latihan The Cage iaitu High Performance Centre Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor berjaya menjadikan Johor kuasa besar sukan pada SUKMA 2022 yang lalu dan muncul juara keseluruhan.
Akhir Sekali, mereka yang mahir dalam bidang sukan perlu bijak untuk menonjolkan diri serta kebolehan mereka bagi menempatkan diri dalam dunia pekerjaan. Pelajar sains sukan juga perlu berubah untuk menjadi job creator berbanding job seeker semata-mata. Sekarang ini kita telah berada di zaman teknologi, mereka boleh menonjolkan diri dengan menggunakan media sosial untuk mempromosikan diri mereka kepada masyarakat luar seperti syarikat yang sedang mencari pekerja untuk bekerja dengan mereka.
Ini boleh membuka peluang pekerjaan kepada mereka kerana kita tahu pada setiap tahun akan ada syarikat yang baru ditubuhkan dan memerlukan pekerja untuk memenuhi pekerjaan yang diperlukan oleh syarikat tersebut. Oleh itu, dengan zaman teknologi ini kita perlu bijak menggunakan media sosial kerana daripada situ kita mampu menunjukkan kreativiti kita sebagai seorang yang luar biasa. Di samping itu, kita perlu kreatif untuk merancang peluang dalam bidang keusahawanan sukan seperti pada masa ini terdapat pelbagai program acara sukan yang dianjurkan oleh konsultan luar seperti Jom Lari, Jom Fit, Badang Challenge dan sebagainya.
Kesimpulannya, menginovasi penyelesaian masalah secara bersama oleh semua pihak adalah sangat penting. Kita perlu duduk semeja dan melihat semula plan strategik sukan negara terutama perkara berkaitan isu peluang pekerjaan yang terhad dalam bidang sukan. Perkara ini perlu diambil cakna oleh semua pihak demi kemajuan sukan negara ke arah bola sepak layak ke Kejohanan Piala Dunia satu hari nanti dan emas Olimpik pertama negara. Tumpuan kepada bidang ini sekaligus meningkatkan SDG3 negara iaitu ke arah Masyarakat yang lebih sihat. Janganlah dilakukan perkara seperti ikan di hulu tuba di hilir kerana ia akan membawa kesengsaraan kepada masyarakat umum.
Oleh Noorafham Noorazman, Gogulaan a/l Ravinthran dan Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip