April 28, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM dan UMT jayakan konservasi terumbu karang Pulau Bidong

PULAU BIDONG, 11 Okt. – Satu program kolaborasi ‘Reef Rescue: Coastal Facility Revival’ anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah diadakan selama 3 hari  di Stesen Penyelidikan Alami Pulau Bidong, Terengganu.

Program konservasi ini melibatkan seramai 24 orang Ahli Jawatankuasa KTC UTM, dua orang Majlis Felo, 10 orang peserta antarabangsa dari  Nigeria, Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, China, Yaman, dan Algeria, dan 5 orang wakil daripada Global Facilities Management Solutions Sdn. Bhd. serta lapan orang Jawatankuasa Kolej dari UMT.

Sejajar dengan nilai teras Universiti Teknologi Malaysia, program UTM Top Bidder ini telah bersinergi bersama pihak Universiti Malaysia Terengganu dan Pusat Penyelidikan Marin UMT bertujuan untuk menyuntik kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan alam sekitar termasuk pemuliharaan terumbu karang dan memastikan kelestarian kehidupan laut terjamin dan seimbang.

Sesuai dengan kekuatan KTC, iaitu Inovatif & Kreatif, program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Pengetua KTC, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim, dibantu oleh Felo Penasihat Program, Dr. Fatin Afiqah Md Azmi, serta Pengarah Program, Cik Nur Hawaniss Herissya Md Haris yang membolehkan program ini mendapat penajaan daripada beberapa pihak luar dan dalam UTM iaitu Coral Redang Island, Syarikat Global Facilities Management Solutions Sdn. Bhd., UTM International, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan Kolej Tuanku Canselor dalam memastikan program Reef Rescue: Coastal Facility Revival berjalan dengan lancar.

JKM KTC, Jawatankuasa UMT serta peserta yang menyertai Program Reef Rescue: Coastal Facility Revival sekitar majlis perasmian program.

 

Majlis dirasmikan oleh En. Muhammad Daniaal Mohamad Ibrahim, selaku Internal Audit & Compliance, Executive Global Facilities Management Sdn. Bhd.

Antara pengisian program yang dilaksanakan adalah perkongsian ilmu berkaitan terumbu karang yang disampaikan oleh Dr. Siti Nurtahirah binti Jaafar, Dr. Izan binti Dato Haji Jaafar dan dua orang pelajar Ijazah Sarjana yang membuat penyelidikan berkaitan polip terumbu karang. Pihak UTM juga terlibat sama di dalam sesi perkongsian ilmu di mana Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud menyampaikan tajuk berkaitan Harnessing the Fourth Industrial Revolution in Reef Preservation and Conservation. Selain itu, aktiviti lain yang terlibat adalah snorkeling, plogging hunt, pembersihan pantai dan jungle trekking.

Peserta bergambar sewaktu aktiviti jungle trekking Jejak Warisan “Boatmen Memorial”.

 

Perkongsian ilmu oleh Dr. Siti Nurtahirah binti Jaafar, berkaitan Coral Reefs: Our Ocean Treasure Conservation & Restoration.

 

Peserta ketika aktiviti snorkeling di sekitar kawasan Stesen Penyelidikan Alami Pulau Bidong, Terengganu.

Seorang pelajar antarabangsa, Muhammad Haris dari Pakistan berpendapat bahawa program seumpama ini harus diteruskan pada masa hadapan oleh UTM kerana ia memberi impak yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat. Program seperti ini memberi berpeluang untuk meneroka tentang ilmu terumbu karang dengan lebih mendalam. Dengan perkongsian yang diberi dan aktiviti yang dijalankan pelajar dapat mempelajari perkara baharu dan membuka minda pelajar tentang kepentingan kewujudan terumbu karang dalam memastikan keseimbangan alam sekitar dan juga ekonomi masyarakat setempat.

Pengalaman dalam penglibatan program ini sememangnya membuka mata dan memberi kesedaran kepada pelajar terhadap realiti sebenar keadaan terumbu karang di Malaysia. Ia juga memberi pengetahuan akan kepentingan ekosistem kehidupan marin di samping pentingnya usaha pemuliharaan terumbu karang untuk generasi akan datang. Kolaborasi yang terjalin antara pelajar UTM dengan UMT ini dapat membina kemahiran komunikasi dan kerjasama yang efektif serta memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua buah universiti.

 

Krew dan peserta yang terlibat sewaktu Majlis Penutupan Program Reef Rescue: Coastal Facility Revival

Oleh Nor Raihanah Noordin

Explore More